suria

Senarai Pengurus Bolasepak Terkaya Britain

PENGURUS England yang baru, Roy Hodgson kini menduduki senarai di antara pengurus yang berpendapatan tinggi setelah memperolehi kontrak empat tahun bernilai berjuta pound sterling daripada Persatuan Bolasepak Inggeris (FA Inggeris).

Kontraknya itu dikatakan bernilai £10 juta.

Bekas pengurus kelab West Bromwich Albion berusia 64 tahun itu kini menduduki tangga kesembilan pengurus paling kaya di Britain dengan anggaran kekayaan sebanyak £11 juta.

Bagaimanapun jumlah pendapatan dan kekayaannya itu masih tidak dapat menandingi jumlah pendapatan Pengurus Tottenham Hotspurs, Harry Redknapp yang kini dianggarkan berjumlah £12 juta.

Namun begitu, Hodgson berpotensi menambahkan pendapatannya itu seandainya beliau pulang dari Kejohanan Negara-Negara Eropah di Poland dan Ukraine bulan depan sebagai juara.

Menduduki senarai teratas sudah pastinya Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson dengan kekayaan terkumpul berjumlah £32 juta.

Berada di bawah Ferguson ialah bekas kaptennya, Roy Keane dengan jumlah kekayaan terkumpul sebanyak £29 juta, diikuti oleh Pengurus Arsenal, Arsene Wenger (£26 juta), Pengurus Republic of Ireland, Giovanni Trapattoni (£20 juta) dan Pengurus Man City, Roberto Mancini (£18 juta).

Seorang lagi bekas pengurus England, Sven Goran Eriksson berada di tangga keenam dengan kekayaan terkumpul £16 juta.

Dalam pada itu, seorang lagi pengurus dari kalangan bekas pemain Man United, Steve Bruce berada di tangga ketujuh, (£14 juta) diikuti oleh juga bekas pemain United yang kini melatih kelab tercorot, QPR, Mark Hughes (£11 juta).

Di antara pemilik kelab bolasepak yang tersenarai di kalangan individu terkaya di UK pula ialah pemilik bersama kelab QPR, Lakshmi Mittal dengan jumlah kekayaan £12.7 bilion.

Pemilik kelab Arsenal, Alisher Usmanov menduduki tempat kedua (£12.3 bilion) diikuti pemilik kelab Chelsea, Roman Abramovich (£9.5 bilion).

Artikel Lain