suria

Renang Terbuka Malaysia: Kevin Terlepas Peluang Ke Olimpik

KUALA LUMPUR: Perenang kebangsaan Kevin Yeap terlepas peluang melayakkan diri ke Sukan Olimpik London di bawah kategori B dalam acara 400 meter gaya bebas lelaki walaupun meraih pingat emas pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil, di sini, Sabtu.

Perenang dari Perak itu mencatatkan masa 3 minit 54.55 saat, ketinggalan 0.42 saat daripada masa kelayakan yang ditetapkan di bawah kategori B iaitu 3:54.13s.

"Saya gembira kerana memenangi pingat emas tetapi pada masa sama saya kecewa kerana gagal layak ke Sukan Olimpik," katanya kepada pemberita di sini.

Kevin berkata beliau telah berusaha keras dalam saingan 200 meter pertama tetapi mula berasa keletihan pada baki 100 meter ke garisan penamat.

"Saya cuba untuk mengekalkan rentak renangan namun badan saya berasa sakit.

"Saya terpaksa akur (gagal layak ke Sukan Olimpik)," kata perenang berusia 23 tahun itu.

Vernon Lee dari Sarawak meraih pingat perak dengan catatan 4:00.15s manakala pingat gangsa milik perenang Sri Lanka, Matthew Abeysinghe dengan masa 4:04.10s.

Sebelum ini, Kevin telah layak ke Sukan Olimpik dalam acara 1,500 meter gaya bebas menerusi kategori B pada Kejohanan Peringkat Umur Kebangsaan Singapura bulan lepas dan kini masih memburu tempat dalam acara 400 meter gaya bebas.

"Peluang terakhir saya untuk beraksi dalam acara 400 meter gaya bebas pada Sukan Olimpik ialah pada Kejohanan SEA di Singapura bulan depan. Saya sudah hampir untuk melayakkan diri dan saya perlu berusaha lebih lagi," katanya.

Perenang kebangsaan lain yang menyinar pada kejohanan di sini, hari ini ialah Marellyn Liew dari Sabah dalam acara 50 meter kuak kupu-kupu wanita dan Siow Yi Ting dari Negeri Sembilan dalam acara 200 meter kuak dada wanita dengan kedua-dua mereka menguasai acara masing-masing.

Sementara Khoo Chai Lin dari Selangor dan Yap See Tuan dari Pahang sekadar meraih pingat perak dalam acara 400 meter gaya bebas wanita dan 200 meter kuak dada lelaki.-BERNAMA

Artikel Lain