suria

Khalid Puas Hati Keputusan Seri Lawan Perak

KUALA TERENGGANU: Walaupun seri, tetapi ternyata Terengganu telah dapat memberikan persembahan terbaik ketika menentang Perak dalam pertandingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini pada Jumaat malam.

Jurulatih sementara Terengganu Khalid Mat Dahan berkata terdapat beberapa kelemahan dikesan di bahagian hadapan pasukan Terengganu yang menyebabkan mereka terlepas peluang memperoleh mata penuh dalam perlawanan itu.

"Saya puas hati dengan persembahan pemain dan kita akan cuba memperbaiki kelemahan yang ada selepas ini," katanya kepada pemberita.

Keputusan penuh perlawanan itu ialah Terengganu 2 dan Perak 2.

Pengurusan Terengganu telah memberikan mandat kepada Khalid untuk membimbing pasukan berikutan ketua jurulatih Mat Zan Mat Aris telah direhatkan selama dua minggu sehingga 15 Mei ini.

Khalid berkata tidak banyak yang dapat dilakukan memandangkan pemain Terengganu sekarang hanya tinggal 17 orang termasuk pemain simpanan yang boleh diturunkan.

Beliau berkata Terengganu sekarang benar-benar kekurangan pemain setelah ramai tonggak utama mengalami kecederaan.

Menurut Khalid antara pemain utama yang mengalami kecederaan termasuklah Francis Forkey Doe dan Manaf Mamat masing-masing akan berehat selama antara satu dan dua bulan kerana cedera.

Bagaimanapun, beliau berharap pemain-pemain yang lain akan sembuh dan segera kembali membantu pasukan.-BERNAMA

Artikel Lain