suria

Kelayakan Olimpik: Malaysia Kalahkan Austria 5-0

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara terhindar daripada prospek menduduki tangga terakhir pada pusingan kelayakan Olimpik selepas mengalahkan Austria 5-0 di Kakamigahara, Jepun pada Sabtu.

Kemenangan tunggal skuad kebangsaan dalam pertandingan itu telah meletakkan Malaysia di kedudukan kelima dalam saingan enam pasukan.

Berazam untuk membalas dendam selepas kalah tipis 2-3 kepada Austria Khamis lalu, pasukan negara bermain dengan bersemangat untuk mengawal perlawanan.

Malaysia mendahului dengan jaringan pertama pada minit ke-12 selepas Siti Rahmah Othman menjaringkan gol padang dan menambah gol empat minit sebelum perlawanan babak pertama tamat menerusi pukulan sudut penalti oleh A. Kannagi.

Skuad negara meningkatkan momentum permainan pada babak kedua apabila berjaya menghasilkan tiga lagi jaringan.

Nur Azlin Sumantri menyumbat gol padang pada minit ke-40 diikuti dua jaringan sudut penalti pada minit ke-43 dan 47 masing-masing oleh Juliani Mohamad Din dan Norbaini Hashim.

Malaysia gagal layak ke Sukan Olimpik London, Julai ini selepas mengalami kekalahan di tangan pasukan Azerbaijan 0-4, Jepun (0-8), Chile (1-2) serta terikat 2-2 dengan Belarus pada perlawanan 'round-robin'. BERNAMA

Artikel Lain