suria

India Berpesta Gol Belasah Sri Lanka

MELAKA: Juara bertahan India memberi amaran awal dalam misi mempertahankan gelaran apabila berpesta gol dengan membelasah Sri Lanka 11-0 pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja zon Asia di Stadium Hoki Bukit Serindit di sini Jumaat malam.

India, yang memburu gelaran hatrik pada Piala Asia itu, menguasai perlawanan Kumpulan B itu dengan mendahului 6-0 pada separuh masa.

Malak Singh menjaringkan hatrik pada minit ke-27, 39 dan 45 manakala ketua pasukan Akashdeep Singh membuka tirai jaringan seawal minit ketiga sebelum menjaringkan gol keduanya pada minit ke-62.

Penjaring lain ialah Pullyanda Lokesh Thimmanna pada minit ke-34 dan 51, Satbir Singh (minit ke-21,30), Surender Kumar (minit keenam) dan Prabhdeep Singh menutup tirai jaringan pada minit ke-67.

Dalam satu perlawanan kumpulan sama, Pakistan mengatasi China 1-0, hasil jaringan Suleman Muhammad pada minit ke-34.

India dan Pakistan akan berentap pada perlawanan kedua Ahad ini yang menjanjikan pertembungan menarik antara dua jaguh hoki Asia itu.

Esok pada perlawanan kedua Kumpulan A, Malaysia akan menentang Korea Selatan, yang dijangka menarik setelah kedua-dua pasukan menang dalam perlawanan pembukaan semalam manakala Jepun akan bertemu Iran.

Lapan pasukan mengambil bahagian pada kejohanan ini yang berlangsung sehingga 13 Mei.

Kejohanan ini menawarkan empat tempat ke Piala Dunia Remaja 2013 dengan India, selaku tuan rumah, layak secara automatik manakala tiga lagi tempat menjadi buruan di sini. BERNAMA

Artikel Lain