suria

PSM Yakin Pingat Emas Dalam Jangkauan Pada Sukan Asia 2014

GEORGE TOWN: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yakin pingat emas dalam jangkauan skuad negara pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan ekoran persiapan rapi yang dibuat mulai sekarang.

Presidennya, Datuk Ahmad Ismail berkata walaupun pencapaian skuad negara tidak konsisten dalam beberapa kejohanan siri Super Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) di Indonesia dan Thailand beberapa bulan lepas, secara keseluruhannya prestasi mereka berada pada tahap yang membanggakan.

"Jurang yang memisahkan skuad negara dengan Thailand hanya semangat juang. Daripada segi mutu permainan dan kemahiran tidak jauh berbeza dan PSM telah melaksanakan pelbagai program jangka panjang termasuk latihan di peringkat akar umbi seperti pencarian bakat muda, kejurulatihan dan pengadilan," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata barisan pemain muda akan diberikan latihan dan pendedahan secara sistematik serta peluang menyertai lebih banyak kejohanan bertaraf antarabangsa bagi membentuk sebuah pasukan yang mantap menjelang temasya itu kelak.

Mengenai kejohanan Istaf yang akan disertai skuad negara di Singapura pada Khamis, beliau mengakui Malaysia bakal menghadapi laluan sukar apabila berdepan dengan beberapa pasukan terbaik dunia seperti Thailand, Indonesia, Korea Selatan, Singapura dan Jepun. -BERNAMA

Artikel Lain