suria

Jelajah 1Malaysia Medan Akhir Sebelum Pemilihan Atlet Ke London

KUALA LUMPUR: Perlumbaan basikal Jelajah 1Malaysia 2012, pada 8 hingga 13 Mei ini, menjadi medan terakhir bagi beberapa atlet berbasikal lebuh raya negara untuk membuktikan kebolehan mereka, sebelum satu nama atlet dipilih ke Olimpik London Julai ini.

Timbalan Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad berkata jelajah berbasikal tertua negara itu bakal disertai sekurang-kurangnya tiga atlet dalam senarai pendek persekutuan itu iaitu Mohd Harrif Salleh, Mohd Zamri Salleh dan Amir Mustafa Rusli.

Beliau berkata seorang lagi jaguh berbasikal lebuh raya kebangsaan Mohd Adiq Hussainie Othman dijangka turut mengambil bahagian setelah pelumba kelab Champion System itu mengalami masalah visa untuk menyertai kejohanan di Amerika minggu depan.

"Beliau mempunyai pilihan sama ada hendak mewakili pasukan Kuala Lumpur atau pasukan kebangsaan bawah 23 tahun. Rundingan masih dibuat oleh pihak-pihak berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Naim berkata pelumba berkenaan bersama pasukan trek akan menjalani latihan intensif di Belgium selama 22 hari sebelum Olimpik.

Selain itu, Pengerusi Jelajah 1Malaysia M. Maniam berkata aspek keselamatan peserta dan orang ramai akan ditingkatkan pada jelajah kali ini.

"Seramai 107 anggota polis akan ditugaskan untuk memastikan kelancaran kejohanan. Kita percaya tiada sebarang insiden di luar kawalan polis akan timbul," katanya.

Pada majlis itu, Maniam menerima sumbangan jersi pecut daripada Milo bagi raja pecut perlumbaan edisi ke-48 jelajah berbasikal, yang melibatkan sebanyak enam peringkat dengan jarak kayuhan sejauh 1,023km.

Jelajah 1Malaysia akan bermula dari Stadium Merdeka, Kuala Lumpur ke Bandar Baru Kampar, Perak sejauh 161.5km, diikuti Bandar Baru Kampar-Kulim, Kedah (201.8km), Kulim-Felda Chuping, Perlis (168.8km), Kangar-Sungai Petani, Kedah (98.5km), Sungai Petani-Ipoh (193.4km) dan Ipoh-Dataran Merdeka (199.5km). -BERNAMA

Artikel Lain