suria

Pesilat Muda Intai Tempat Dalam Skuad Negara

KUALA LUMPUR: Kejohanan Silat Kebangsaan ke-16 yang melabuhkan tirainya semalam menyaksikan pesilat muda Kuala Lumpur, Mohd Izzuddin Hanan dan pesilat wanita Kedah, Siti Zubaidah Che Omar memenangi anugerah pesilat lelaki dan wanita terbaik.

Izzudin, 20, muncul juara dalam Kelas G Putra (75-80kg) manakala Siti Zubaidah, 21, memenangi saingan Kelas D Putri (60-65kg) dan mereka kini memasang sasaran untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan bagi Kejohanan Dunia tahun ini yang akan diadakan di Thailand pada penghujung tahun.

"Saya tidak sangka memenangi anugerah ini. Apa yang terfikir ialah memberikan persembahan terbaik dalam setiap pertarungan," kata Izzuddin, yang menewaskan pesilat Melaka, Zahriman Kamarol Zaman 5-0 dalam pertandingan akhir.

"Anugerah ini akan menyemarakkan lagi semangat saya untuk bekerja keras dan terpilih mewakili negara satu hari nanti. Siapa tahu dengan sedikit tuah, saya mungkin mendapat peluang beraksi di Kejohanan Dunia penghujung tahun nanti."

Zubaidah, yang mula mempelajari dan berlatih seni silat kurang tiga tahun lalu, berkata dia agak gemuruh dalam pertarungan akhir ketika menentang pesilat Sabah, Emy Latip, tetapi mampu muncul juara dengan mata 3-2.

"Seperti Izzuddin, sasaran saya ialah mewakili negara di Kejohanan Dunia, saya sedar pesilat kebangsaan tidak akan memberi laluan mudah dan kerana itu, saya perlu bekerja keras untuk mendapat tempat supaya diserapkan dalam pasukan kebangsaan."

Sementara itu, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, beliau berharap semua pesilat kebangsaan akan menunjukkan graf peningkatan dan memburu gelaran kuasa nombor satu silat sedunia.

"Sebelum ini kita berada di tangga kedua di belakang Indonesia, kemudian merosot ke tangga ketiga apabila Vietnam mengambil alih menjadi kuasa silat dunia. Ketika ini kita sudah mengatasi Indonesia tetapi masih di belakang Vietnam.

"Saya lihat ada ramai pesilat muda dan berbakat di kejohanan kebangsaan ini dan berharap mereka akan membantu kita menjadi kuasa silat dunia menjelang 2016," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain