suria

Penganjur Kejohanan SAKM Cadang Cabaran Lebih Sengit Tahun Depan

MARANG: Penganjur kejohanan Swimathon Antarabangsa Kapas-Marang (SAKM) bercadang menjadikan acara itu lebih mencabar tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri,

Datuk Rahin Mohd Said berkata jarak renangan 5.6 kilometer sekarang akan dipanjangkan jaraknya dua kali ganda tahun depan.

Katanya acara mungkin tidak lagi dimulakan di Pulau Kapas sebaliknya di perairan pantai di hujung landasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

"Ini mungkin lebih menarik dan mencerminkan cabaran yang sebenar kepada para peserta kerana jaraknya lebih jauh berbanding sekarang.

"Bagaimanapun pantai peranginan Kelulut tetap dikekalkan menjadi tempat penamat kerana ia mempunyai infrastruktur yang diperlukan selain antara tempat pelancongan sempena Tahun Melawat Terengganu 2013," katanya.

ahin berkata idea memanjangkan jarak renangan dikemukakan peserta dalam mahupun luar negara dan pihaknya akan memberi perhatian serius bagi merealisasikan hasrat peminat SAKM.

"Penganjur tidak keberatan untuk mengubah laluan menandangkan arus laut yang mengalir ke sebelah selatan mungkin dapat membantu para peserta ke garisan akhir di Pantai Kelulut," katanya.

Beliau juga berkata jumlah penyertaan peserta akan dipertingkatkan daripada 400 kepada lebih 500 peserta tahun depan.

"Apa yang membanggakan ialah penyertaan peserta luar negara semakin mendapat sambutan dan meningkat setiap tahun penganjuran dan ini menggambarkan kejohanan itu popular di luar negara.

"Tahun ini saja sebanyak 17 negara termasuk Malaysia antaranya Jerman, United Kingdom, Australia dan Singapura menyertai kejohanan," katanya.

SAKM yang kini memasuki edisi ke-12 merupakan salah satu daripada aktiviti teras dalam kalendar pelancongan negeri Terengganu.

Dalam kejohanan kali ini yang berakhir semalam, peserta Jerman, Benjamin Konschak dan peserta negara, Chelsea Chong Xuet Yi masing-masing dinobatkan sebagai juara lelaki dan wanita kejohanan dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.- BERNAMA

Artikel Lain