suria

Pure Black Kuasai Peringkat Pertama Jelajah Borneo

TAWAU: Pelumba pasukan Pure Black Racing Team dari New Zealand menguasai podium pada saingan peringkat pertama perlumbaan berbasikal Jelajah Borneo dari Semporna ke Tawau pada Jumaat.

Pelumba pecut pasukan Michael Torckler muncul juara perlumbaan sejauh 102.8km dengan masa dua jam 23 minit 06 saat.

Rakan sepasukan Torckler, Louis Crosby dan Roman Van Uden masing-masing mengakhiri perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.

Torckler memulakan saingan dari bahagian kanan apabila pelumba dilepaskan dengan diikuti rapat Vadim Shaekov dari pasukan Suren Uzbekistan.

Pelumba berusia 25 tahun mula melakukan pecahan pada kilometer 82.8 untuk mendahului kelompok selepas berjaya menguasai pusingan pecut kedua.

Bagaimanapun kelompok pelumba utama berjaya mengejar dan merapatkan kedudukan pada dua kilometer terakhir sebelum trio New Zealand enggan memberi laluan sehingga ke garisan penamat. Pelumba pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Salleh cuba memberi saingan tetapi gagal dengan menduduki tempat keempat.

Torckler juga menyarung jersi kuning dan jersi oren selaku pendahulu pelumba terbaik keseluruhan dan Raja Pecut.

"Sungguh menghairankan untuk merangkul tiga tempat pertama. Ia bukan berlaku selalu. Ini adalah hari istimewa," katanya. Dalam pada itu, Mohd Harrif berkata beliau kecewa kerana gagal memenangi pusingan pembukaan memandangkan peringkat seterusnya lebih berpihak kepada pelumba pendakian.

"Saya seorang sahaja bersama pelumba New Zealand di barisan depan. Tidak ada rakan sepasukan membantu saya. Saya harap kerjasama pasukan dapat diperbaiki pada peringkat seterusnya," kata pelumba berusia 24 tahun itu.

Mohd Harrif menyarung jersi biru selaku pelumba terbaik Asia serta jersi putih sebagai pelumba terbaik Malaysia.

Peringkat kedua perlumbaan sulung itu disambung esok dari Tawau ke Lahad Datu melibatkan jarak 146.6km. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain