suria

Sokongan Untuk Di Matteo Dinobatkan Sebagai Pengurus Tetap Chelsea Kini Semakin Kuat

Roberto di Matteo
Roberto di Matteo
Roberto di Matteo

LONDON: Selepas berjaya membawa Chelsea ke dua perlawanan akhir - iaitu Piala FA Inggeris dan Piala Liga Juara-Juara Eropah - sokongan untuk Roberto Di Matteo untuk dilantik ke jawatan pengurus sepenuh masa kini semakin meningkat.

Ini termasuklah dari kalangan pemain-pemain kanan dan berpengaruh Chelsea dan juga dari kalangan pengurusan kanan kelab itu sendiri.

Buat masa ini, Di Matteo hanya berfungsi sebagai pengurus sementara atau interim sahaja selepas André Villas-Boas (AVB) dipecat lapan minggu yang lalu.

Sebelum itu, pengurus berbangsa Itali tersebut adalah penolong kepada AVB. AVB yang bertanggungjawab membawa beliau masuk memandangkan beliau pernah bermain di kelab berkenaan suatu ketika dahulu.

Tidak ada pengurus yang berjaya membimbing Chelsea ke perlawanan akhir Piala Juara-Juara Eropah kecuali Avram Grant pada 2008.

Di Matteo adalah pengurus yang kedua berjaya berbuat demikian dan itu pun atas kapasiti sebagai pengurus sementara sahaja.

Setakat ini, Di Matteo hanya dipertanggungjawabkan untuk mengurus Chelsea sehingga tamat musim ini yang hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi.

Pemilik kelab, Roman Abramovich masih dikatakan tercari-cari siapakah pengurus yang sesuai untuk membimbing kelabnya itu selepas beliau memecat pengurusnya yang kelapan iaitu AVB.

Ketika Chelsea menentang Barcelona di Nou Camp, Abramovich tidak kelihatan hadir menyaksikan perlawanan yang dianggap sebagai paling luar biasa yang pernah dipamerkan oleh kelab berkenaan sejak beliau mengambilalihnya lapan tahun yang lalu.

Kemampuan Di Matteo membimbing Chelsea sehingga ke perlawanan akhir kejohanan Liga Juara-Juara Eropah musim ini setidak-tidaknya membawa pulangan pendapatan sebanyak £45 juta - hanya daripada kutipan royalti televisyen sahaja untuk kelab tersebut, belum termasuk lagi kutipan daripada jualan tiket.

Faktor itu harus diambil kira oleh Abramovich di dalam membuat pertimbangan akhir sama ada untuk mengekalkan Di Matteo atau mencari pengurus baru.

Di pihak Di Matteo pula, apa yang sedang dilaluinya sekarang adalah merupakan satu perjalanan karier yang luar biasa dan luar jangkaan.

Bayangkan, pada waktu ini di musim yang lalu beliau adalah seorang penganggur selepas dipecat sebagai pengurus West Bromwich Albion (WBA) yang kini mungkin merasa menyesal kerana berbuat demikian.

Tetapi setahun kemudian, beliau mungkin dilihat sebagai pengurus muda yang paling berbakat dan luar biasa di atas muka bumi ini.

Sepanjang tempoh mengambil alih jawatan pengurus sementara Chelsea, beliau telah membimbing kelabnya dalam 15 perlawanan dan hanya tewas sekali - suatu rekod yang tidak mungkin pernah dilakukan oleh mana-mana pengurus dalam kapasiti beliau di benua Eropah.

Yang paling menarik ialah, beliau membimbing Chelsea tanpa banyak soal dan karenah serta berpuashati dengan apa yang diberikan kepadanya oleh Abramovich malah kini sebaliknya telah meningkatkan prospeknya sebagai seorang yang sememangnya layak memimpin kelab itu dengan diplomasinya, pendekatan taktikalnya dan pendekatan yang rasional serta masuk akal.

"Walaupun kami hanya melantik Robbie (Di Matteo) hanya sehingga akhir musim ini tetapi dia telah melakukan satu tugas yang sangat menakjubkan tapi kita tengoklah apa yang akan berlaku selepas itu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Chelsea, Ron Gourlay.

Pemain paling berpengaruh dalam kelab itu, Frank Lampard berkata, apa yang dilakukan oleh Di Matteo dalam 15 perlawanan bukanlah sesuatu yang boleh dikatakan kebetulan.

Dia telah berjaya mengembalikan keyakinan dalam diri semua pemain dan suasana ini telah membawa Chelsea ke dua perlawanan akhir dalam satu musim yang sehingga Mac lalu dianggap sebagai musim paling buruk dalam sejarah Chelsea di bawah Abramovich.

Kini apa yang perlu dilakukan oleh Di Matteo ialah menyusun semula barisan pertahanannya yang dianggap parah dalam perlawanan seterusnya iaitu menentang Queens Park Rangers Ahad ini.

Artikel Lain