suria

Pahang Gagal Teruskan Dominasi Kejohanan Silat Kebangsaan Ke-16

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Pahang gagal mempertahankan penguasaan mereka pada hari kedua Kejohanan Silat Kebangsaan ke-16 di Stadium Badminton Kuala Lumpur, di sini, Rabu.

Wakil tunggal juara bertahan itu pada 2004, 2006 dan 2010 iaitu Syamsul Saifuddin Mat Isa tumpas dengan kiraan mata 1-4 kepada pesilat Kelantan, Wan Rosydi Faisal Mohd Rosli dalam pusingan awal Kelas Putra B (50-55kg).

Kelantan sebaliknya meneruskan dominasi mereka apabila pesilatnya Mohd Islahidayat Ismail mudah mengalahkan pesliat Kedah, Muhd Nur Azmirrul Nolsen dalam pusingan awal Kelas Putra E (65-70kg) dengan kiraan mata 5-0.

Terengganu turut memberi saingan sengit kepada Kelantan apabila dua pesilatnya iaitu Nor Manjalina Madon dan Mohammad Nasaruddin Mazelan masing-masing memenangi pusingan awal acara Kelas Putri A (45-50kg) dan Kelas Putra B (50-55kg).

Skuad Tok Gajah semalam beraksi cemerlang apabila kesemua empat pesilatnya menempah tiket ke pusingan suku akhir Jumaat ini dalam kategori masing-masing iaitu Ahmad Shahriduan Zailuddin dalam Kelas Putra D (60-65kg), Iza Mazatul Haniza Zakaria dalam Kelas Putri B (50-55kg) dan Mohd Yusrizal Abdul Latiff dalam Kelas Putra E (65-70kg).

Kejohanan enam hari anjuran Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) Kuala Lumpur bermula semalam dan akan diteruskan esok dengan 40 lagi perlawanan saingan pusingan awal dalam acara silat olahraga.

Kira-kira 500 pesilat yang mewakili 14 pasukan menyertai kejohanan dwitahunan itu bagi merebut wang tunai berjumlah RM10,000. - BERNAMA

Artikel Lain