suria

MPM Hasrat Jadikan Paralimpik Terbuka Malaysia Sebagai Acara Tahunan

KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM)bercadang menjadikan Kejohanan Olahraga Paralimpik Terbuka Malaysia yang turut menarik penyertaan atlet paralimpik antarabangsa pada penganjuran sulung tahun ini, sebagai acara tahunan.

Presiden MPM, Datuk Zainal Abu Zarin berkata keperluan menjadikan ia sebagai acara tahunan sedang dipertimbangkan kerana ia boleh memberikan pendedahan yang lebih luas kepada atlet paralimpik negara untuk memperkasakan sukan paralimpik di negara ini.

Kejohanan lima hari di Stadium Mini Majlis Sukan Negara yang akan berakhir esok menarik penyertaan 130 atlet daripada 13 buah negara antaranya Afghanistan, Brunei, Filipina, India, Jepun, Norway, Mongolia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Sebanyak 10 rekod Asia berjaya diperbaharui oleh atlet yang mengambil bahagian dalam kejohanan itu sehingga kini.

Bercakap kepada Bernama di sini, Khamis, Zainal berkata Malaysia juga mempunyai kemudahan dan kepakaran untuk menganjurkan kejohanan seumpama itu.

"Dengan adanya kejohanan seperti ini negara rantau Asean lain tidak perlu mengeluarkan belanja besar untuk menghantar atlet paralimpik mereka ke negara Eropah bagi mengikuti sesuatu kejohanan paralimpik bertaraf dunia," katanya.

Zainal berkata beliau akan berbincang dengan MSN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mendapat sokongan untuk menjadikan Kejohanan Olahraga Paralimpik Terbuka Malaysia sebagai acara tahunan.

Katanya berdasarkan maklum balas yang diterima, rata-rata 13 negara yang menyertai kejohanan tersebut berpuas hati dengan mutu penganjuran Malaysia.

"Saya percaya mereka sedia untuk menghantar atlet jika ianya dianjurkan sekali lagi," katanya.

Zainal berkata MPM yang mempunyai kekangan kewangan berharap terdapat syarikat yang berminat untuk menaja sekiranya kejohanan tersebut dijadikan acara tahunan. - BERNAMA

Artikel Lain