suria

Jelajah Borneo: Penganjur Sedia Lihat Perlumbaan

SEMPORNA: Pihak penganjur telah bersedia sepenuhnya untuk menganjurkan perlumbaan berbasikal jelajah bertaraf antarabangsa yang pertama di Sabah, Tour of Borneo (TOB) yang akan bermula Jumaat.

Perlumbaan yang mendapat pengiktirafan status 2.2 daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu menarik penyertaan sejumlah 20 pasukan tempatan dan luar negara.

"Boleh dikatakan kita sekarang sudah 90 peratus bersedia dan tidak sabar untuk melihat perlumbaan ini berjalan dengan baik.

"Sepertimana penganjuran perlumbaan berbasikal yang lain, kita tidak lari daripada masalah tetapi sebolehnya kita mahu menyelesaikan masalah yang ada sebelum perlumbaan bermula," kata pengarah teknikal perlumbaan Maniam Manikkam kepada Bernama.

Dengan belanjawan yang terhad tidak seperti penganjuran perlumbaan berbasikal bertaraf antarabangsa yang lain, beliau berharap perlumbaan yang julung kali diadakan di sini akan dapat dilaksanakan dengan berjaya.

Mengenai pasukan yang mengambil bahagian, Maniam berkata kebanyakan mereka tiba di sini sejak Rabu untuk melakukan latihan penyesuaian.

"Untuk perlumbaan kali ini, kita mendapat berita semalam bahawa pasukan Tabriz Petrochemical (dari Iran) telah menarik diri di saat akhir kerana pasukan berkenaan kini berhadapan dengan masalah kewangan.

"Kekosongan itu kini di isi pasukan Terengganu. Ini bermakna pada perlumbaan ini kita mempunyai dua pasukan dari Terengganu iaitu pasukan negeri dan pasukan benua, TSG (Terengganu Cycling Team)," katanya.

Perlumbaan sebanyak lima peringkat itu akan bermula dari Semporna ke Tawau yang melibatkan jarak sejauh 102.8km dan diikuti peringkat kedua, Tawau-Lahad Datu (146.6km); Lahad Datu-Sandakan (181.8km); Sepilok-Kundasang (214.8km) dan Kundasang–Kota Kinabalu (112.4km). -BERNAMA

Artikel Lain