suria

Skuad Boling Padang Diminta Perbaiki Ranking Dunia

KUALA LUMPUR: Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) mahu skuad boling padang negara membaiki kedudukan dalam ranking dunia semasa menyertai Kejohanan Boling Padang Dunia 2012 di Adelaide, Australia pada 26 November hingga 11 Disember ini.

Setiausaha Kehormat PLBM Ramble Dallan Rice-Oxley berkata pada Kejohanan Boling Padang Dunia 2009, Malaysia berada di kedudukan ketiga terbaik dunia.

"Kami berharap dapat memperbaiki kedudukan sekarang dan berada di kedudukan teratas," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Beliau berkata persekutuan itu telah memilih lapan atlet lelaki dan lapan atlet wanita untuk menyahut cabaran itu dan berharap mereka dapat menampilkan prestasi terbaik nanti.

Antara mereka ialah Khairul Anuar Abd Kadir, Mohd Azwan Shuhaimi, Emma Firyana Saroji, Noor Zafirah Mohd Noor, Zuraini Khalid, Auni Fatihiah Kamis, Nabila Mokhtar dan Maisarah Aminludin.

"Sebanyak 90 peratus daripada mereka adalah muka-muka baru dan berada di bawah kendalian jurulatih dari Afrika Dr Simon Botha serta jurulatih negara Zuraidi Puteh," katanya.

Ramble berkata pada Kejohanan Boling Padang Asia ke-10 di Kompleks Sukan Bukit Kiara di sini awal bulan ini, skuad negara meraih dua pingat emas menerusi kategori perseorangan wanita melalui Emma Firyana dan pair wanita (Emma Firyana dan Maisarah).

"Walaupun kita tewas tetapi pencapaian dua emas itu adalah membanggakan kerana mereka sangat baru...baru tiga bulan mereka dipilih untuk menyertai skuad boling padang negara," katanya.

Beliau berkata skuad boling padang negara sedang mempersiapkan diri dengan menjalani latihan konsisten untuk menghadapi kejohanan itu. - BERNAMA

Artikel Lain