suria

Persiapan 24 Venue Sukma XV Di Pahang Selesai

IPOH: Persiapan kesemua 24 venue bagi kejohanan Sukan Malaysia ke-15 (Sukma XV) di Bandar Diraja Pekan, Temerloh dan Kuantan yang dijadual berlangsung dari 7 hingga 16 Julai ini telah selesai sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita Negeri Pahang Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata walaupun dijalankan di tiga bandar berlainan tetapi jarak perjalanan antara ketiga-tiga venue mengambil masa tidak lebih sejam setengah.

"Kesemua atlet dan pegawai akan ditempatkan di asrama IPT seperti Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Institut Kemahiran Tinggi Negara (IKBN) di Temerloh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan watikah jemputan Sukma XV Pahang 2012 kepada Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebelum ini mengumumkan tarikh Sukma XV terpaksa ditunda daripada Jun kepada Julai berikutan cuti Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang tidak selaras dengan cuti persekolahan. Shafik Fauzan berkata sebagai negeri tuan rumah kali kedua kejohanan itu. kontinjen Sukma Pahang meletakkan sasaran 60 pingat emas daripada kesemua 369 pingat emas yang ditawarkan.

"Kontinjen negeri tidak menyasarkan untuk menjadi Johan Keseluruhan Sukma XV dengan sasaran emas terbabit tetapi meletakkan harapan besar dalam lima acara pilihan iaitu tinju, bola sepak, golf, ekuestrian dan petanque," katanya.

Sementara itu, Zainol berkata kontijen Sukma Perak meletakkan sasaran 30 pingat emas dan berhasrat memadam kekecewaan kerana gagal mendapatkan pingat emas pada Sukma Kuala Lumpur tahun lepas.

Beliau berkata semua atlet negeri dilatih mulai bulan Ogos tahun lepas melalui beberapa fasa latihan.

"Keputusan menunda tarikh juga memberi kelebihan kepada kita untuk meneruskan latihan dan kita meletakkan harapan yang tinggi mendapat pingat emas bagi menutup sejarah lalu.

"Kita mempunyai beberapa atlet berwibawa dalam beberapa acara dan berharap komitmen yang tinggi daripada mereka untuk memberi hadiah pingat emas kepada negeri dalam kejohanan itu," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain