suria

KOAM Anjur Kejohanan Bulanan Jun Ini

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOAM) akan menganjurkan kejohanan pada setiap bulan mulai Jun ini bagi memantapkan persembahan atlet negara di samping melahirkan lebih ramai atlet pelapis.

Presiden KOAM Datuk Seri Shahidan Kassim berkata langkah itu bertujuan membolehkan setiap atlet negara mengambil bahagian dalam sekurang-kurang satu kejohanan setiap bulan.

Selain itu, kejohanan bulanan itu bagi mempersiapkan atlet menghadapi saingan temasya Sukan SEA di Myanmar tahun depan, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan KOM di sini, Isnin.

Shahidan berkata selain persiapan Sukan SEA 2013, kejohanan bulanan itu mencungkil bakat baru bagi mengisi ketandusan atlet dalam beberapa acara tertentu.

"Ketika Sukan SEA Indonesia tahun lepas, kita hanya mengambil bahagian dalam satu pertiga acara yang dipertandingkan ketika itu.

"Saya harap tahun depan kita mampu mengambil bahagian dalam semua acara atau setidak-tidaknya dua pertiga daripada acara yang ditawarkan oleh pihak penganjur Sukan SEA Myanmar 2013," katanya.

Shahidan berkata pemilihan atlet untuk kejohanan luar negara, yang diadakan setiap tiga bulan sekali, dibuat berdasarkan prestasi semasa atlet dan kemampuannya untuk memenangi pingat.

Pada mesyuarat itu, katanya anggota Majlis KOM juga bersetuju mewujudkan jawatan baru dalam KOM iaitu Pengarah Kursus yang bertanggungjawab menyusun kursus untuk atlet dan jurulatih.

Beliau juga berkata Mesyuarat Agung Tahunan KOM akan diadakan selawat-lewatnya Jun ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain