suria

Paralimpik Terbuka Malaysia: Sasaran Untuk Layak Ke London

KUALA LUMPUR: Pemburuan skuad olahraga paralimpik negara di Kejohanan Olahraga Paralimpik Terbuka Malaysia bukan hanya untuk mengumpul pingat emas sebaliknya membawa misi yang lebih besar iaitu memperoleh tiket kelayakan ke Paralimpik London 2012, kata Pengerusi Jawatankuasa Jurulatih dan Latihan Skuad Paralimpik Negara, Ahmad Omar.

Beliau berkata oleh itu atlet paralimpik perlu memberi fokus sepenuhnya untuk melepasi standard minimum kelayakan A (MQSA) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan (NPC) jika ingin layak secara merit ke London.

"Apa guna kalau kita mendapat pingat emas jika atlet paralimpik tidak mampu atasi MQSA untuk layak ke London.

"Saya harap atlet paralimpik dapat menggunakan sebaik mungkin peluang yang terhidang di depan mata ini kerana bukan selalu kita mendapat peluang seperti ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ahmad berkata harapan beliau ialah ingin melihat seramai mungkin atlet olahraga negara memperoleh kelayakan ke Olimpik London walaupun beliau agak kecewa dengan prestasi keseluruhan yang ditunjukkan oleh anak didiknya pada hari pertama kejohanan berlangsung.

"Berbanding dengan negara luar, atlet kita mempunyai banyak kelebihan daripada mereka iaitu baik dari segi cuaca, suasana dan keadaan tempat kerana boleh dikatakan setiap hari kita berlatih di sini," katanya.

Beliau berkata penyertaan beberapa atlet junior pada kejohanan itu adalah sebagai pendedahan awal mereka sebelum bersedia untuk beraksi di Kejohanan Para Remaja Asian yang akan berlangsung di Kuala Lumpur tahun depan.

"Saya harap atlet paralimpik junior menggunakan sebaik mungkin peluang beraksi bersama atlet negara luar seperti India, Filipina, Vietnam, Thailand, Brunei, Norway, Singapura, Sri Lanka dan Afghanistan yang mengikuti kejohanan yang berlangsung selama lima hari ini," katanya.

Kejohanan Olahraga Paralimpik Terbuka Malaysia berlangsung selama lima hari bermula hari ini di Stadium Mini Majlis Sukan Negara Bukit Jalil di sini.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain