suria

MB Jumpa Pengurusan PBSNT Berikutan Kemerosotan Mutu Pasukan Terengganu

KUALA TERENGGANU: Ekoran kemerosotan mendadak mutu pasukan bola sepak Terengganu, satu perjumpaan khusus antara Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, pihak pengurusan dan jurulatih Terengganu akan diadakan Selasa ini.

Ahmad berkata perjumpaan itu bertujuan untuk mencari jalan di samping membincangkan beberapa perkara penting dalam usaha mengatasi masalah yang dihadapi itu.

"Saya akan bincang dengan pihak pengurusan kanan dan juga jurulatih pasukan apa sebenarnya masalah yang dihadapi yang menyebabkan mutu pasukan telah merosot secara mendadak.

"Saya akan cuba berikan pandangan dan idea bagaimana cara untuk mengembalikan kegemilangan pasukan sekiranya mereka mahu menerima," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kekalahan memalukan Terengganu 1-2 kepada pasukan Sime Darby yang berstatus kelab.

Sebelum itu Ahmad menghadiri majlis perjumpaan bersama Jawatankuasa Masjid dan Agihan Al-Quran di Wisma Darul Iman yang dihadiri lebih 1,000 imam dan ahli jawatankuasa masjid.

Mengulas selanjutnya Ahmad berkata mengikut pandangannya perubahan dan strategi perlu difikirkan oleh pihak pengurusan untuk memperbetulkan keadaan.

"Dalam hal ini, saya nampak masih ada ruang untuk kita perbetulkan. Sebab itu saya sudah tetapkan pada 24 April ini untuk mengadakan perjumpaan dengan pihak pengurusan dan jurulatih," katanya.

Ahmad berkata tidak mustahil pasukan Terengganu mampu melangkah ke perlawanan akhir Piala FA kerana dalam bola sepak semuanya boleh berlaku.

Menurut beliau tidak bermakna Terengganu ketinggalan 1-2 kepada pasukan kelab Sime Darby dalam perlawanan pusingan pertama separuh akhir di sini malam Sabtu pasukan itu tidak boleh bangkit dalam perlawanan kedua nanti.

Beliau turut meminta peminat dan penyokong pasukan Terengganu rasional dan tidak bertindak melulu sekiranya tidak berpuas hati kepada pengurusan dan jurulatih pasukan.

Malam Sabtu, kita-kira 500 orang peminat dan penyokong Terengganu telah berkumpul di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kerana tidak berpuas hati kekalahan Terengganu kepada Sime Darby dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA.

Terengganu akan bertemu Sime Darby dalam pusingan kedua di tempat lawan 1 Mei ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain