suria

Sarawak Tidak Puas Hati Dengan Hukuman Denda Oleh FAM

KUCHING: Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) hari ini melahirkan rasa tidak puas hati dengan hukuman denda RM29,500 susulan kekecohan semasa perlawanan Liga Super membabitkan Sarawak menentang Lions XII di Stadium Negeri di sini pada 17 Mac lalu.

Presidennya Datuk Sudarsono Osman berkata FAS sepatutnya diberi peluang oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memberi penjelasan sebelum sebarang hukuman dikenakan.

"Hukuman denda RM29,500 itu sudah dianggap cukup berat kepada sumber kewangan FAS," katanya dalam e-mel kepada Bernama di sini, Sabtu.

Katanya beliau tidak pasti jumlah anggota keselamatan yang diperlukan oleh FAM dalam menyediakan kawalan di stadium pada setiap perlawanan.

Menurutnya tidak kurang 300 anggota polis dan RELA ditugaskan bagi mengawal keselamatan pada setiap perlawanan di Stadium Negeri di sini.

Pada Jumaat lalu, FAS dikenakan hukuman tersebut kerana gagal menyediakan kawalan keselamatan yang secukupnya pada perlawanan tersebut serta tidak mampu mengawal tindak tanduk penyokong mereka.

ada perlawanan tersebut, pasukan Lions XII dari Singapura mengatasi Sarawak 1-0, hasil sepakan penalti ketua pasukan Shahril Ishak pada minit ke-72

Selain itu, kapten Sarawak, Mohd Hairol Mokhtar digantung tiga perlawanan dan denda RM2,000 kerana mengeluar kata-kata kesat terhadap pengadil perlawanan.

Manakala pembantu jurulatih Mohd Farhan Abdullah digantung lapan perlawanan serta denda RM4,000 kerana mengasari pengadil tersebut.

"FAS secara rasmi tidak mengetahui tentang keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM yang mendenda FAS dan hanya mengetahui tentang perkara itu melalui media," kata Sudarsono.

Mengenai tindakan penyokong tuan rumah membaling botol minuman ke padang dan menggunakan perkataan kesat terhadap pegawai perlawanan, beliau berkata ia adalah di luar kawalan FAS termasuk penggunaan pancaran laser yang sukar dikesan apabila penyokong membawa masuk alat itu ke dalam stadium.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu memberi komen mengenai hukuman terhadap Mohd Hairol dan Mohd Farhan.

"Saya merayu kepada penyokong setia Sarawak agar terus mematuhi undang-undang selepas ini dan terus menyokong pasukan Sarawak," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain