suria

MSN Pertimbang Guna Khidmat Pakar Eropah Susun Program Olahraga

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Malaysia (MSN) bercadang menggunakan khidmat pakar dari negara Eropah bagi mengisi kekosongan jawatan Pengarah Teknikal dalam Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong berkata, MSN telah mengenal pasti beberapa individu yang mempunyai kelayakan untuk mentadbir aktiviti KOM dan akan mengumumkan nama individu yang terpilih dalam masa terdekat ini.

"Kami telah menyenarai pendek tiga nama calon yang berkelayakan dan mereka dari luar negara.

"MSN tidak bermaksud untuk mengenepikan pakar tempatan tetapi sehingga kini belum ada individu yang layak difikirkan mempunyai kemahiran itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup Kem Atlet Olahraga 2012, di sini.

Zolkples berkata, jawatan itu adalah umpama ketua kepada enam ketua jurulatih bagi enam disiplin yang telah dilantik.

"Sebelum ini KOM ada meminta MSN melantik seorang Ketua Jurulatih namun saya fikir adalah lebih sesuai untuk kita melantik Pengarah Teknikal bagi memantau program itu," katanya.

Zolkples berkata, semua Ketua Jurulatih bagi enam disiplin yang dilantik akan dinilai melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi memastikan olahraga mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

"Jurulatih juga selepas ini sudah ada KPI sendiri malah satu buku log juga akan disediakan untuk mencatat segala perkembangan disiplin-disiplin yang diterajui oleh mereka.

"Saya juga berharap agar dapat membuka satu lembaran baru bagi sukan olahraga selepas ini dan kita juga akan jadikan Sukan Malaysia kali ini sebagai medan untuk mencari atlet-atlet baru untuk diketengahkan," kata Zolkples.

Sementara itu, Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau merasa gembira kerana dapat menjalin hubungan baik dengan MSN.

"Dengan wujudnya kerjasama ini program pembangunan atlet olahraga dapat disusun secara teratur dan saya percaya bahawa dengan bantuan MSN kita dapat melahirkan lebih ramai atlet berkualti pada masa hadapan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain