suria

Mohamad Arif Tidak Disenarai Ke Terbuka India Dan BAC

KUALA LUMPUR: Kesabaran pemain perseorangan lelaki negara Mohamad Arif Abdul Latif diuji lagi apabila beliau tidak tersenarai dalam Kejohanan Terbuka India dari 24 hingga 29 April ini di New Delhi.

Namun, pemain muda itu tidak mudah melatah dan menerima alasan badan induk badminton, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang turut terlupa menghantar namanya untuk Kejohanan Badminton Asia (BAC) yang sedang berlangsung sehingga 22 April di China.

"Saya akui baru-baru ini memang saya kurang konsisten. Latihan okay tetapi permainan kurang konsisten. Mungkin sebelum ini saya banyak masalah termasuk masalah baru dengan BAM yang tidak senaraikan saya di Terbuka India dan BAC sebab terlupa hantar nama.

"Saya berbincang dengan jurulatih tentang hal ini dan beliau berikan saya nasihat agar lebih matang dan bertanggungjawab untuk masa depan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Bukit Kiara, di sini, Khamis.

Namun, katanya beliau berterima kasih kepada BAM kerana diberi peluang untuk menyertai kejohanan Terbuka Kanada dan Terbuka Amerika Syarikat pada Julai nanti.

"Saya kena lebih konsisten dalam permainan dan tidak akan sia-siakan peluang yang diberi," kata Mohamad Arif yang turut tercicir daripada senarai Kejohanan Badminton All England pada Mac lepas.

Katanya beliau juga bersedia menerima keputusan BAM jika namanya tidak disenaraikan dalam pasukan Piala Thomas di Wuhan, bulan depan.

"Jika saya terpilih, saya akan main bersungguh-sungguh, kalau tidak terpilih saya tidak rasa kecewa.

"Jika pemilihan berdasarkan ranking, memang peluang Liew Daren dan Chong Wei Feng lebih layak, sebab sehingga Mei ini saya hanya sertai dua kejohanan terbuka sahaja berbanding mereka iaitu enam hingga tujuh kejohanan," katanya.

Mohamad Arif berkata harapannya adalah tersenarai di Piala Thomas 2014 dan Sukan Olimpik 2016 dan akan memberi tumpuan kepada latihan serta mahu memperbaiki kedudukannya dalam senarai Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sementara itu jurulatih negara, Hendrawan mahu anak buahnya itu lebih fokus kepada kejohanan yang akan disertai selepas ini bagi memperbaiki kedudukannya.

"Saya tidak nafikan memang ada kerugian buat Arif untuk membuktikan permainannya di India Open. Sekarang ini terpenting buat Arif adalah kejohanan selepas ini...ini jadi pengajaran buat kita untuk lebih berhati-hati," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain