suria

Faiz Subri Mahu Disenaraikan Dalam Skuad Kebangsaan

KUALA TERENGGANU: Penyerang pasukan T-Team dalam Liga Super, Mohd Faiz Subri bertekad tidak akan mensia-siakan peluang selepas disenaraikan dalam sesi latihan skuad kebangsaan kendalian Datuk K. Rajagobal.

Mohd Faiz, 25, berazam mengisi kesebelasan utama skuad negara menjelang perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka di Stadium Shah Alam, Selasa depan.

"Peluang pertama kali ini memang saya tidak mahu persiakan dan saya akan menggunakan sebaik mungkin bagi memastikan layak tersenarai untuk menyarung jersi kebangsaan nanti," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini, Rabu.

Pemain kelahiran Perlis itu berkata beliau teruja untuk melaporkan diri di Wisma FAM Kelana Jaya, Petaling Jaya, Jumaat ini.

Kelmarin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan 25 senarai pemain yang akan menjalani sesi latihan dan pemilihan bagi aksi menentang Sri Lanka.

Antara pemain yang dipanggil ialah Safiq Rahim mewakili skuad Selangor, Helmi Remeli (Selangor PKNS), Ashri Chu Chu (Sarawak) dan penyerang sensasi kelab Pelita Jaya Safee Sali. -BERNAMA

Artikel Lain