suria

Chong Wei, Pandalela Harapan Emas Pertama Sukan Olimpik

KUALA LUMPUR: Malaysia menyandarkan harapan besar kepada pemain badminton nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei dan penerjun Pandelela Rinong untuk meraih pingat emas pertama negara pada temasya Sukan Olimpik di London pada Julai ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata misi mendapatkan pingat emas pertama pada temasya sukan berprestij itu bukanlah perkara mustahil.

"Saya rasa ini perkara yang tidak mustahil, Chong Wei masih lagi dianggap pemain nombor satu dunia. Pada Olimpik nanti, kita tahu saingan beliau (Chong Wei) adalah Lin Dan dan Chen Long, jadi saya yakin Chong Wei mampu untuk mengalahkan mereka dan seterusnya membawa pulang emas seperti yang diharapkan.

"Pandelela juga menunjukkan kecemerlangannya beberapa kali dengan meraih pingat perak pada beberapa kejohanan. Sukan terjun adalah sukan di mana jurang juara dan naib juara adalah terlalu nipis dan saya rasa sudah sampai masanya beliau memberi emas buat negara," katanya kepada pemberita semalam.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Halim Mu'adzam Shah berkenan menyampaikan anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2011 masing-masing kepada Chong Wei, yang diwakili abangnya Lee Chong Eng, dan Pandelela.

Ahmad Shabery berharap kejayaan kedua-dua atlet itu dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati negara akan membakar semangat atlet-atlet lain untuk mencipta kejayaan di Olimpik nanti. - BERNAMA

Artikel Lain