suria

Pasukan Elit Indonesia, Garuda Muncul Juara Piala Axiata

KUALA LUMPUR: Skuad senior Indonesia, Garuda, merangkul kejuaraan edisi pertama Piala Axiata apabila membenam pasukan muda mereka, Rajawali dengan agregat 5-1 selepas meraih kemenangan 2-1 pada pusingan kedua final di Stadium Tertutup Tenis Senayan, Jakarta, Ahad.

Selepas mengalahkan 3-0 semalam pada perlawanan final timbal balik, skuad elit Indonesia itu tidak menghadapi masalah untuk melakar sejarah sebagai pasukan pertama menjuarai kejohanan berpasukan termahal dunia.

Kejohanan badminton itu menawarkan keseluruhan hadiah wang tunai US$1 juta (RM3.059 juta).

Pasukan Garuda dibarisi oleh pemain perseorangan berpengalaman iaitu bekas juara Sukan Olimpik, Taufik Hidayat, pemain nombor sembilan dunia, Simon Santoso dan bekas juara Sukan Asia, Sony Dwi Kuncoro.

Manakala beregu pula terdiri daripada Bona Septano/Mohammad Ahsan dan Markis Kido/Hendra Setiawan.

Atas kejayaan itu, pasukan Garuda membawa pulang hadiah wang tunai US$400,000 (RM1.223 juta) manakala Rajawali pula menerima US$200,000 (RM611,960).

Pada pusingan kedua itu, Garuda memperoleh mata pertama menerusi Simon, selaku pemain utama Indonesia, yang mengalahkan Tommy Sugiarto 21-16, 21-10.

Bagaimanapun, Rajawali menyamakan kedudukan menerusi beregu Alvent Yulianto Chandra/Angga Pratama yang mengejutkan pasangan nombor enam dunia, Bona/Mohammad 23-21, 12-21, 21-13.

Bekas juara dunia Taufik tidak menghadapi masalah apabila memberi mata kemenangan kepada Garuda dengan mengetepikan pemain muda Rajawali, Shesar Hiren Rhustavito 21-14, 21-15.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain