suria

Wan Jamak Kecewa Dengan Kelemahan Pertahanan Kedah

ALOR SETAR: Jurulatih Kedah Wan Jamak Wan Hassan kecewa dengan prestasi barisan pertahanan pasukan itu yang menyebabkan kekalahan 0-2 kepada Sarawak dalam saingan Liga Super di Satdium Darul Aman di sini malam Jumaat.

Wan Jamak yang berang dengan kekalahan itu berkata pemain pertahanan alpa dan leka sehingga menyebabkan Sarawak memperoleh gol pada minit ke-72 dan 84.

"Saya amat kecewa dengan pertahanan kami terutama Azmizi Azmi yang cuai dan dia tak sepatutnya melakukan kesilapan dalam kotak penalti apabila gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya sehingga memberi peluang kepada Sarawak menjaringkan gol kedua.

"Azmizi tak sepatutnya melakukan kesilapan itu kerana dia mempunyai pengalaman yang luas sebagai pemain pertahanan," kata Wan Jamak ketika ditemui pemberita di sini malam Jumaat.

Beliau berkata ketiadaan dua pemain importnya Abd Elfatah Safi yang dikeluarkan pada minit ke-45 separuh masa kedua dan Mohammed Hamidan minit ke-58 akibat kecederaan menyebabkan keseluruhan rentak perlawanan berubah tidak seperti yang dirancang.

Sementara itu Wan Jamak berkata perlawanan menentang Sarawak itu merupakan perlawanan akhir buat Hamidan yang bakal digugurkan daripada pasukan Kedah kerana gagal meyakinkan kemampuannya kepada jurulatih dan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah(KFA).

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Hamidan kerana memberi sumbangan yang baik kepada pasukan walaupun tidak secara keseluruhan dalam usaha membantu Kedah mencipta kemenangan," katanya.

Beliau berkata KFA telah mempunyai pengganti Hamidan dan pemain import itu dalam proses pendaftaran dan akan diketahui Sabtu. - BERNAMA

Artikel Lain