suria

12 Atlet Akan Sertai Kejohanan Wushu Asia Di Vietnam

KUALA LUMPUR: Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) akan menghantar seramai 12 orang atlet wushu bagi menyertai Kejohanan Wushu Asia di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam pada 19 hingga 26 Ogos ini.

Jurulatih negara Yong Thong Fong berkata pemilihan bagi 12 atlet wushu ke kejohanan tersebut akan diadakan pada awal Jun ini dan skuad tersebut akan turut disertai oleh dua pelapis negara.

"Seramai 12 atlet wushu akan menyertai kejohanan tersebut yang terdiri dari enam lelaki dan enam wanita.

"Kini kita ada lebih kurang enam orang pelapis, jadi kita akan pilih sekurang-kurangnya dua orang pelapis bagi menyertai skuad senior ke Vietnam pada Ogos ini," katanya kepada Bernama, di sini, Jumaat.

Yong berkata bagi menghadapi kejohanan tersebut, skuad negara telahpun menjalani latihan di China selama sebulan.

"Kita baru sahaja pulang dari menjalani latihan di China pada hari Rabu lepas dan akan meneruskan latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi melakukan persediaan untuk menghadapi kejohanan tersebut," katanya.

Beliau berkata selepas pemilihan dibuat, skuad wushu negara akan berlepas ke China semula bagi menjalani persiapan akhir sebelum ke Vietnam. - BERNAMA

Artikel Lain