suria

Schwartzel Dahului Pusingan Pertama Dengan Kelebihan Satu Pukulan

KUALA LUMPUR: Charl Schwartzel mengorak langkah awal dengan mendahului pusingan pertama Kejohanan Golf Maybank Terbuka Malaysia 2012 di Kuala Lumour Golf & Country Club (KLGCC) di Bukit Kiara, di sini, Khamis.

Pemain dari Afrika Selatan itu, yang memulakan saingan pada sebelah pagi, mendahului hari pertama dengan hanya satu pukulan apabila melakarkan catatan lapan di bawah par 64.

"Saya bermain dengan baik sekali hari ini. Sudah agak lama dan saya memang bekerja keras sejak beberapa bulan lalu tetapi belum ada hasilnya. "Saya mempunyai perasaan bagus sekian lama tetapi belum ada hasil. Nampaknya saya menggabungkan perasaan bagus dan prestasi ini dan lapan bawah par adalah keputusan baik bagi diri saya," kata Schwartzel. "Harap-harap saya boleh melakukan sama esok. Saingan masih jauh dan banyak peluang untuk melakukan pukulan birdie dan sekiranya saya bermain seperti hari ini maka saya mempunyai peluang pada pusingan akhir Ahad ini," jelasnya.

Pemain India, Jeev Milkha Singh memulakan persembahan dengan melakukan pukulan 'eagle' pada lubang ke-10 untuk menamatkan saingan di tangga kedua dengan tujuh bawah par 65.

"Saya memang gembira dengan permulaan yang baik sekali...melakukan pukulan 'eagle' dari jarak 20 kaki telah memberi permulaan yang baik. Saya mencatatkan satu bogey pada lubang ke-11 dan bangkit semula dengan birdie.

"Saya mempunyai banyak peluang untuk melakukan pukulan birdie dan semua pukulan awal saya jatuh dekat dengan bendera," katanya.

Tiga pemain Louis Oosthuizen (Afrika Selatan), Jyothi Randhawa (India) dan Jason Knutzon (Amerika Syarikat) berkongsi tempat ketiga selepas terikat dengan catatan enam bawah par 66.

Juara bertahan Matteo Manassero, seorang bintang muda Itali, kini berkongsi kedudukan 29 dengan 13 lagi pemain.

Pusingan kedua akan bermula pukul 7.30 pagi esok. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain