suria

Ibu Atlet Dapat Tajaan ke Olimpik London

PETALING JAYA:Ibu empat atlet negara ke Olimpik akan turut diterbangkan ke London pada Julai ini bagi menyuntik semangat kepada anak masing-masing yang menjadi taruhan meraih pingat untuk Malaysia pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Program tajaan Dutch Lady Malaysia itu melibatkan pelumba basikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang, ratu terjun Pandelela Rinong serta beregu badminton Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong bersama ibu masing-masing.

Mohd Azizulhasni berkata kehadiran ibunya di London nanti pasti akan meniupkan lagi semangat beliau untuk melakukan yang terbaik dan membawa pulang pingat untuk negara.

"Selama ini ibu tak dapat tengok saya berlumba, apatah lagi di luar negara.

"Usaha membawa ibu ke Olimpik, kejohanan terbesar dalam hidup saya, memang amat saya hargai. Ibu sendiri datang sokong pasti saya akan lebih bersemangat lagi," kata 'The Pocketrocketman' itu dalam sidang media anjuran Dutch Lady Malaysia di sini, Selasa.

Antara yang turut hadir pada majlis itu ialah ibu Mohd Azizulhasni Selamiah Yong, ibu Pandelela Hartini Lamim dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar.

Ibu kepada jaguh acara keirin itu, Selamiah berkata sebelum ini beliau tidak pernah menjangkakan akan berpeluang untuk melihat anaknya beraksi di Olimpik.

"Saya teruja dan ini memang sesuatu yang amat menggembirakan buat saya," katanya yang turut berkongsi kisah penglibatan awal anaknya dalam sukan berbasikal.

Sementara itu, Pengarah Jualan Dutch Lady Malaysia Danny Chew berkata selain sebagai tanda sokongan syarikat itu kepada atlet berkenaan, program itu diharap akan meningkatkan kesedaran ibu bapa tentang kepentingan nutrisi dalam menyerlahkan potensi sebenar anak-anak.

"Keempat-empat atlet ini secara berterusan telah mengharumkan negara menerusi penglibatan mereka dan kami berbesar hati mereka bersama-sama kami dalam kempen 2010.

"Menerusi mereka, kami berharap dapat menyuntik inspirasi dan meningkatkan kesedaran kepada ibu bapa bahawa nutrisi adalah kunci utama kesihatan dan menyerlahkan potensi anak-anak," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain