suria

Olahraga Para Terbuka Medan Terakhir Atlet Ke Paralimpik London

KUALA LUMPUR: Kejohanan Olahraga Para Terbuka Malaysia 2012 merupakan medan terakhir untuk 25 atlet olahraga paralimpik menempah tiket ke Sukan Paralimpik 2012 di London pada Ogos ini.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Zainal Abu Zarin berkata kejohanan julung kali itu yang bermula dari 23 hingga 27 April ini akan membuka peluang kepada atlet melepasi Standard Kelayakan Minima (MQS) yang ditetapkan.

"Seramai 13 atlet olahraga yang akan menyertai Kejohanan Terbuka nanti telah melepasi MQS, bagaimanapun senarai nama atlet akan diumumkan secara rasmi pada 27 Mei ini.

"Kita akan terus menganjur program bertaraf antarabangsa untuk membantu mengembangkan sukan para di negara ini selain mengetengahkan atlet paralimpik negara ke peringkat dunia," katanya kepada pemberita selepas melancarkan logo Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, di sini, Isnin.

Zainal berkata seramai 250 atlet paralimpik dari 20 negara Asia, Eropah dan Afrika telah mengesahkan kehadiran bagi menyertai kejohanan yang mempertandingkan 178 acara.

Negara yang mengambil bahagian ialah Singapura, Filipina, Thailand, Syria, Sri Lanka, Uzbekistan, Myanmar, Norway, Vietnam, India, Brunei, Jepun, Mongolia, Nigeria, Nepal, Iran, Afghanistan, Iraq, dan Malaysia sebagai tuan rumah.

Kejohanan itu dianjurkan oleh MPM dan Persatuan Olahraga Para Malaysia(POPM) mendapat perakuan dari Jawatankuasa Paralimpik Asia (APC) dan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC).-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain