suria

Tentera Tewaskan Polis 2-0

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus mempertahankan kedudukan sebagai peneraju Liga Perdana apabila menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam Jumaat.

Dengan kemenangan itu, skuad kendalian B.Satiananthan kini mengumpul 25 mata, mendahului dua mata di depan pencabar utama, iaitu Pahang, selepas 11 perlawanan.

Dua gol ATM disumbangkan Marlon Alex James pada minit ke-29 dan Bruno Marteloto pada minit ke-67 (penalti).

Pahang pula terus mengekori rapat ATM apabila mengutip tiga mata penuh hasil kemenangan besar menumpaskan Negeri Sembilan Betaria 4-0 di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Pemain import dari Russia Eduard Sakhnevich menjadi wira pasukan itu apabila menyumbang dua gol pada minit ke-20 dan minit ke-65 manakala Azamuddin Mohd Akil dan R.Gopinathan masing-masing menyumbat satu gol pada minit ke-39 dan minit ke-52.

Di Stadium Sultan Ibrahim, pasukan tuan rumah menang tipis 3-2 ketika menentang USM FC dan gol MP Muar dijaringkan Abdul Rayjal Abdul Jalil seawal minit ketiga, Mohd Alafi Mahmud (minit ke-46 dan minit ke-69) manakala gol pelawat dihasilkan Adam Abdul Malik pada minit ke-20 dan Kaye Edrisar (minit ke-88).

Johor pula menewaskan Pos Malaysia 3-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, menerusi jaringan Juan Muriel Orlando pada minit ke-60, Ahmad Tharmini Saiban (minit ke-75) dan Muhamad Tuan Iskandar Jamaluddin (minit ke-90).

Di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, pasukan Sime Darby menewaskan Johor MBJB 3-0.

Gol Sime Darby dijaringkan Mohd Shoufiq Kusaini pada minit ke-46, Zamri Hassan (minit ke-57) dan Sengbah Kennedy (minit ke-64).

Harimau Muda mencatat kemenangan pertama ketika beraksi di Stadium Utama Negeri, Kangar apabila menumpaskan Perlis 1-0 hasil jaringan Muhammad Akmal Ishak pada minit ke-26.

Sementara itu, dalam satu perlawanan Liga Super malam ini, Selangor PKNS menewaskan T-Team 4-1. - BERNAMA

Artikel Lain