suria

Muhammad Saufi Juara Peringkat Ke-4 Jelajah Thailand

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal negara, Muhammad Saufi Mat Senan dari pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) mencipta kejayaan cemerlang apabila muncul juara perlumbaan peringkat keempat Jelajah Thailand pada Khamis.

Pada perlumbaan sejauh 136.6km dari Chiang Rai ke Wat Rong Khun itu, pelumba berusia 21 tahun itu mendahului pelumba lain untuk sampai ke garisan penamat dengan mencatat masa dua jam, 54 minit dan 21 saat.

Mengekori rapat ialah pelumba Australia, Edmund John Hollands dari pasukan Eddy Hollands Bicycle Services dan pelumba Jepun, Yusuke Hatanaka daripada pasukan Shimano Racing Team.

Turut berada dalam kelompok 10 pelumba terbaik peringkat keempat itu ialah Nur Amirul Fakhruddin Mazuki (TSG) di tempat ketujuh dan diikuti Amir Mustafa Rusli (pasukan kebangsaan Malaysia) di tempat kelapan.

Kejayaan Muhammad Saufi itu membolehkan beliau menduduki tempat ketiga dalam senarai kedudukan jersi hijau (Raja Pecut) dengan mengumpul 31 mata, 11 mata di belakang pendahulu, Yusuke Hatanaka.

Jersi kuning masih menjadi milik pelumba pasukan kebangsaan Australia, Mitchell Lovelock-Fay dan jersi polka-dot (Raja Bukit) menjadi milik pelumba pasukan kebangsaan Denmark, John Ebsen.

Sementara itu, pelumba kebangsaan Amir Mustafa yang mengumpul masa 12'55:07 selepas empat peringkat hampir berjaya merampas jersi biru (pelumba terbaik ASEAN) daripada pelumba sensasi Thailand, Puchong Sai-Udomsin dengan perbezaan hanya lima saat.

Pasukan kebangsaan negara pada Khamis berjaya memintas dua pasukan benua dari Jepun, Aisan Cycling Team dan Shimano Cycling Team untuk berada di tempat keempat keseluruhan dengan mengumpul 38'54:53, manakala TSG naik satu anak tangga untuk menghuni tempat kedua dengan jumlah keseluruhan catatan masa 38'51:28.

Pasukan kebangsaan Thailand masih mengunguli kedudukan keseluruhan pasukan dengan mengumpul catan masa 38'49:09. - BERNAMA

Artikel Lain