suria

Pemain Import Mesti Tepati Kriteria FAM

KUALA LUMPUR: Semua persatuan bola sepak negeri atau kelab dalam Liga Malaysia yang berminat mengambil pemain import baru perlu memastikan pemain berkenaan memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Badan induk bola sepak negara itu telah membuka pintu perpindahan pemain peringkat kedua bermula hari ini sehingga 16 April.

Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu Bernama bahawa pengambilan pemain import yang memenuhi syarat adalah penting dalam memastikan persatuan atau kelab tidak berdepan masalah kelak.

Beliau menasihatkan persatuan negeri supaya merujuk dahulu kepada jawatankuasa pemeriksaan, pemantauan dan ketelusan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Aseh Che Mat sebelum mengambil pemain import.

Hamidin berkata setakat ini hanya sebuah pasukan kelab yang membuat permohonan kepada FAM untuk menukar seorang pemain import mereka dengan pemain yang baru.

"Saya tidak boleh dedahkan nama kelab tersebut memandangkan pintu perpindahan pemain peringkat kedua baru sahaja bermula dan saya hanya umumkan apabila tempohnya sudah tamat," katanya.

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sebelum ini dilaorkan tidak puas hati dengan tindakan badan induk bola sepak negara itu yang tidak membenarkan dua pemain import yang ditandatangi oleh mereka iaitu Francis Forkey Doe dari Liberia dan Erison Da Silva Santos Carnieto dari Brazil untuk beraksi dalam Liga Malaysia kerana dikatakan tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Antara kriteria pemain import yang dibenarkan oleh FAM ialah pemain-pemain dari negara Asean yang bernaung di bawah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mestilah merupakan pemain kelab divisyen satu.

Pemain dari benua lain seperti Eropah, Amerika Latin dan Afrika sekurang-kurangnya hendaklah beraksi dalam divisyen dua. Pemain yang kini beraksi dalam Liga Singapura, Indonesia dan Thailand tidak dibenarkan beraksi dalam tempoh dua tahun.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan yang bermesyuarat pada 22 Dis lepas meluluskan pengambilan 26 daripada 35 pemain import oleh beberapa pasukan negeri dan kelab untuk beraksi dalam Liga Malaysia pada pintu perpindahan pemain peringkat pertama yang tamat 13 Feb lepas.

Bermula musim ini, FAM membenarkan penggunaan dua pemain import bagi setiap pasukan untuk merancakkan kembali saingan Liga Malaysia yang ketiadaan kelibat pemain luar sejak 2008.-BERNAMA

Artikel Lain