MPM Dan Pakatan Darulnaim Gesa FAM Tangguh Perbicaraan Annuar Musa - Sukan | mStar

MPM Dan Pakatan Darulnaim Gesa FAM Tangguh Perbicaraan Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Persatuan Anak-anak Kelantan Darul Naim Malaysia (Pakatan Darulnaim) pada Isnin memohon Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menangguhkan perbicaraan dan hukuman terhadap Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa.

Setiausaha Agung MPM, Dr Hasan Mad berkata penangguhan perbicaraan itu adalah demi kesejahteraan dan ketenteraman perpaduan orang Melayu terutama bagi penyokong setia skuad The Red Warrior.

Annuar, yang juga presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), akan menghadapi Jawatankuasa Tatatertib FAM Rabu ini di Wisma FAM, Kelana Jaya, atas dakwaan mengkritik prestasi skuad kebangsaan, kendalian Datuk K.Rajagobal, menerusi media.

Difahamkan penyokong The Red Warrior akan mengadakan demonstrasi di Wisma FAM pada pukul 1.15 petang, Rabu ini, bagi menunjukkan sokongan terhadap Annuar dan mendesak perubahan pucuk pimpinan badan induk bola sepak negara itu.

"FAM sebagai badan gabungan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) perlu mengambil kaedah menyelesaikan konflik Annuar tanpa melibatkan orang awam kerana tidak mahu dieksploitasikan oleh orang yang tidak bertanggungjawab yang mahu melagakan institusi beraja dan orang Melayu.

"Saya mendapat tahu, penyokong baju merah itu (the Red Warriors) terdiri daripada pelbagai pihak. Jadi saya harap bagi tidak mengeruhkan keadaan, adalah lebih baik pihak FAM menangguhkan perbicaraan itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

MPM dan Pakatan Darulnaim juga memohon agar Annuar dan FAM tidak menggunakan media sebagai saluran untuk menyatakan sebarang ketidakpuasan hati menyentuh isu dalaman FAM kerana bimbang akan mengelirukan banyak pihak terutama pihak penyokong yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat.

"Saya tidak halang Annuar mencabar FAM tetapi jangan menggunakan orang awam terutamanya orang Melayu...dan press (wartawan) juga jangan terlibat," katanya.

MPM merupakan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang berperanan sebagai pelindung hak orang Melayu sementara Pakatan Darulnaim merupakan NGO yang bertujuan untuk memupuk perpaduan dan mempererat hubungan silaturrahim di kalangan anak-anak Kelantan yang berada di luar negeri tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain