suria

Liga Super:Wan Jamak Kini Puas Hati Dengan Prestasi Hamidan

ALOR SETAR: Jurulatih Kedah Wan Jamak Wan Hassan berpuas hati dengan prestasi pemain import dari Ghana Mohammed Hamidan yang berjaya menjaringkan dua gol dalam saingan Liga Super menentang Perak malam Jumaat.

Kedah yang menang 3-0 ke atas Perak menyaksikan Hamidan yang dikritik sebelum ini kerana gagal menyerlah menjaringkan gol pada minit-minit akhir separuh masa pertama dan pada minit 84.

Wan Jamak mengakui kebangkitan Hamidan membantu pasukannya mencipta kemenangan bermakna malam tadi ke atas Perak sekaligus dapat mengutip tiga mata penuh bagi membolehkan Kedah melonjak berada pada kedudukan terbaik musim ini.

"Saya amat bersyukur kerana menang di tempat sendiri malam Jumaat walaupun pemain Kedah keletihan kerana terpaksa beraksi dalam tiga perlawanan dalam masa seminggu iaitu dua Piala FA pada Sabtu dan Selasa lepas.

"Mereka menunjukkan ketahanan mental yang cukup baik dan semangat keinginan untuk menang merupakan ramuan yang terbaik untuk memastikan Kedah menang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Stadium Darul Aman malam Jumaat.

Wan Jamak berkata keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga Sultan Kedah turut membuatkan anak buahnya bersemangat mempamerkan aksi terbaik di hadapan kira-kira 20,000 penonton setia.

Pada saingan Piala FA Selasa lepas Hamidan mula menunjukkan persembahan baik apabila menundukkan pasukan T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu dengan membantu pasukan itu memperoleh dua gol pada minit ke-64 dan 81 dan layak ke separuh akhir menentang Kelantan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain