suria

Cub Prix: Azlan Terpantas Pada Sesi Ujian Masa

Azlan menguasai Stadium Batu Kawan pada aksi ujian masa, Sabtu.
Azlan menguasai Stadium Batu Kawan pada aksi ujian masa, Sabtu.
Azlan menguasai Stadium Batu Kawan pada aksi ujian masa, Sabtu.

PERMULAAN baik bagi Azlan Shah Kamaruzaman selepas menguasai perlumbaan hari pertama Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 yang berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, Sabtu.

Pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu mencatat masa terpantas sesi ujian masa dengan catatan 53.792 saat yang dilakukan pada pusingan kelima mengatasi rakan sepasukan, Mohd Affendi Rosli di kedudukan kedua dengan catatan 53.981s.

Sementara itu, pelumba Yamaha Maju Motor Racing, Abdul Muhaimin Roslan ketiga dengan catatan 54.081s.

Beraksi di litar kegemarannya, sebelum itu Azlan turut mencatat masa terpantas pada kedua-dua sesi latihan bebas sebelah pagi dengan catatan 55.013s dan 55.365s.

Mengulas mengenai prestasinya, Azlan berkata, faktor jentera memainkan peranan penting kepada persembahan saya hari ini.

"Segalanya berada dalam keadaan yang cukup baik dan saya cukup gembira kerana berjaya meletakkan pasukan kami di hadapan pada perlumbaan pertama musim ini,” jelas pelumba 28 tahun itu.

Azlan berkata, dia mahu menghadiahkan gelaran juara buat pasukan dan turut berharap agar pasukan dapat menguasai ketiga-tiga kedudukan podium nanti.

"Namun begitu, saya perlu berhati-hati pada sesi Superpole esok kerana sebelum ini saya seringkali melakukan kesilapan dan gagal beraksi dengan baik.

"Saya tidak mahu bertindak terburu-buru dan cuba untuk mengekalkan aksi sepertimana yang saya lakukan hari ini," jelas Azlan yang turut gembira kerana berjaya mengatasi catatan terbaik litar 54.418s milik Mohd Zamri Baba pada musim lepas.

Dalam kategori CP115, dua pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM tampil cemerlang apabila Mohd Iskandar Raduan muncul pelumba terpantas dengan catatan 55.476s manakala rakan sepasukannya, Zulsyafiz Rosli yang juga juara Wira 2011 di kedudukan ketiga dengan mencatatkan 55.721s.

Sementara itu, Mohd Azhar Abdul Jalil dari pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing muncul pelumba kedua terpantas dengan catatan 55.655s.

Iskandar berpuas hati dengan catatan yang dilakukan pada sesi ujian masa hari ini.

"Jika dibandingkan dengan sesi latihan bebas di sebelah pagi, ia jauh lebih baik namun beberapa perubahan masih dilakukan terutama di bahagian sprocket bagi menghadapi sesi saringan dan perlumbaan akhir nanti.

"Sebenarnnya, saya tidak menyangka muncul pelumba terpantas kerana sebelum itu Mohd Rozaliman Zakaria (Pachie Yuzy Honda Racing) mencatat masa terbaik, namun selepas catatannya dibatalkan kerana gagal mematuhi peraturan teknikal perlumbaan, saya muncul sebagai pelumba terpantas," katanya yang baru beralih dari pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline pada musim ini.

Dalam kategori Wira, Fakhrusy Syakirin Rostam meneruskan kecemerlangan musim lepas apabila mengungguli sesi ujian masa dengan catatan masa terpantas 55.684s yang dilakukan pada pusingan ke-10.

Pelumba AAP Mazoil Armstrong Motorsport itu mengatasi Tengku Amirul Haffiruddin (Motul Yamaha YY Pang) yang mencatatkan 55.787s manakala pelumba Mos Malaysia Racing, Mohd Hafiz Nor Azman muncul pelumba ketiga terpantas dengan catatan 55.906s.

Keputusan Ujian Masa:

CP130

1.Azlan Shah Kamaruzaman (Honda) 53.792s

2.Mohd Affendi Rosli (Honda) 53.981s

3.Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha) 54.081s

4.Mohd Zaqhwan Zaidi (Honda) 54.177s

5.Ahmad Fazli Sham (Yamaha) 54.268s

CP115

1.Iskandar Raduan (Yamaha) 55.476s

2.Mohd Azhar Abdul Jalil (Yamaha) 55.655s

3.Zulsyafiz Rosli (Yamaha) 55.721s

4.Sasitharen Sukumaran (Honda) 55.767s

5.Ahmad Abdul Kadir (Yamaha) 55.771s

WIRA

1. Fakhrusy Syakirin Rostam (Honda) 55.684s

2. Tengku Amirul Haffiruddin (Yamaha) 55.787s

3. Mohd Hafiz Nor Azman (Yamaha) 55.906s

4. Mohd Hafiza Rofa (Honda) 56.334s

5. Nurahmad Fariznazreen (Yamaha) 56.679

Artikel Berikut

Artikel Lain