suria

Nicol Bertemu Raneem Di Peringkat Separuh Akhir

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka KL Nicol David CIMB 2012 selepas menewaskan Dipika Pallikal dari India pada perlawanan yang berlangsung di pusat beli belah Berjaya Times Square malam Khamis.

Pemain berusia 28 tahun itu mendapat laluan mudah apabila mengambil masa 25 minit untuk menumpaskan Dipika 11-5, 11-2 dan 11-6.

Nicol akan bertemu Raneem El Weleily dari Mesir, Jumaat pada perlawanan separuh akhir.

Kali terakhir mereka bertemu ialah pada separuh akhir Kejohanan Terbuka Torneo International Bicentenario Mexico pada 2010, yang dimenangi Nicol.

Terdahulu, Raneem menumpaskan pemain Ireland Madeline Perry 13-11, 11-6 dan 11-2 dalam tempoh 31 minit.

Dalam satu lagi perlawanan suku akhir, pemain nombor empat dunia Laura Massaro dari England dikejutkan apabila tewas kepada pemain Hong Kong Annie Au dalam pertembungan sengit 76 minit dengan 11-8, 7-11, 11-9, 5-11 dan 11-9.

Sementara itu, pemain yang sedang meningkat dari Mesir, Nour El Sherbini sekali lagi melakukan kejutan apabila menewaskan pilihan keenam kejohanan Rachael Grinham dari Australia dengan 11-8, 6-11, 11-9 dan 11-8 dalam tempoh 41 minit.

Semalan, Nour mengetepikan pemain nombor dua dunia Jenny Duncalf untuk mara ke suku akhir. - BERNAMA

Artikel Lain