suria

PKBM Jadikan Belgium Sebagai Kem Latihan Sebelum Ke Olimpik London

KUALA LUMPUR: Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) merancang untuk 'berkampung' di Belgium bagi menjalankan latihan skuad berbasikal kebangsaan sebelum menghadapi Sukan Olimpik London, Ogos ini.

Timbalan Presiden PKBM Datuk Naim Mohamad berkata pihaknya kini sedang mencari kawasan bersesuaian di negara itu untuk dijadikan kem latihan sebelum bertolak ke London.

"Kesemua pelumba basikal negara yang melayakkan diri ke London akan berkampung di sana selama enam minggu dan sepanjang tempoh tersebut, mereka akan menyertai beberapa kejohanan dijangka rancak dijalankan ketika itu," katanya kepada Bernama, di sini, Khamis.

Naim berkata negara berkenaan menjadi pilihan PKBM atas beberapa faktor termasuk jaraknya yang berhampiran dengan London, selain mahu atlet menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di Eropah.

"Kita turut mendapati ramai pelumba basikal yang melayakkan diri ke Olimpik akan menjadikan negara ini (Belgium) sebagai pangkalan mereka sebelum menyertai temasya sukan tersebut malahan zon masa di antara Belgium dan London tidak jauh berbeza," katanya. Beliau berkata skuad berbasikal kebangsaan dijangka akan memasuki Perkampungan Sukan Olimpik, pada 20 Julai sebelum melakukan latihan ringan bagi menyesuaikan diri dengan keadaan velodrom baru berhampiran Olympic Park, London.

"Perkampungan Sukan Olimpik akan dibuka pada 16 Julai, jadi kita akan masuk empat hari kemudian untuk menyesuaikan diri kerana acara lebuh raya akan bermula pada 28 Julai manakala acara trek akan bermula pada 2-7 Ogos," katanya.

Setakat ini, Malaysia telah mengesahkan dua slot dalam acara lebuh raya pada Sukan Olimpik dan PKBM hanya akan membuat keputusan mengenainya selepas berakhirnya Kejohanan Berbasikal Jelajah 1Malaysia pada pertengahan Mei ini.

Seramai lapan pelumba basikal trek negara pula akan menyertai Kejohanan Trek Dunia UCI di Melbourne, Australia dari 4-8 April ini yang menjadi medan terakhir untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

Lapan pelumba tersebut ialah Mohd Azizulhasni Awang (keirin dan pecut), Mohd Edros Md Yunos (keirin, pecut, 1km ujian masa individu), Josiah Ng (keirin), Muhd Arfi Qhairant Amran, Mohd Fattah Amri Zaid dan Malek Marcus McCrone (pecut berpasukan), Fatehah Mustapa (keirin dan pecut wanita) serta Jupha Somnet (500m ujian masa individu wanita). -BERNAMA

Artikel Lain