suria

Layak Ke Separuh Akhir Piala FA Tanda Pasukan Kedah Bertambah Mantap - Azizan

ALOR SETAR: Kemenangan Kedah ke atas pasukan dari Terengganu, T-Team dengan agregat 2-1 untuk layak ke separuh akhir Piala FA mampu mengembalikan semangat dan sokongan peminat setia 'Hijau-Kuning yang kian merosot,' kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Katanya beliau yakin pasukan Kedah bertambah mantap dengan kejayaan itu walaupun kurang berpuas hati dengan prestasi pemain import, Hamidin Mohammed yang lambat menyesuaikan diri dengan pemain lain.

"Tiada alasan lagi untuk menoleh ke belakang. Saya tidak mau punca tidak konsisten pasukan ini berulang kerana tempoh secukupnya telah diberikan," kata Azizan semasa diminta mengulas kejayaan Kedah mengalahkan T-Team di Kuala Terengganu, malam Selasa.

Dalam pertemuan pertama di Alor Setar sebelum itu, kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.

Azizan yang ditemui selepas mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman di sini, Rabu menasihatkan semua pemain menguatkan disiplin, berazam kuat untuk menang dan yakin dalam usaha mengejar kemenangan seterusnya.

"Dengan mengamalkan tiga ramuan ini saya yakin peminat dan penyokong setia Kedah tidak akan kecewa lagi selepas ini," kata Azizan yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Kedah akan bertemu Kelantan pada peringkat separuh akhir manakala satu lagi adalah dengan pemenang antara Terengganu dan pasukan bertaraf kelab, Sime Darby FC.

Perlawanan pertama dijadualkan pada 21 April depan. - BERNAMA

Artikel Lain