suria

Rozaliman Sertai Pasukan Pachie Yuzy Honda Racing Musim Ini

Rozaliman menjadi taruhan bagi pasukan Pachie Yuzy Honda Racing musim ini.
Rozaliman menjadi taruhan bagi pasukan Pachie Yuzy Honda Racing musim ini.
Rozaliman menjadi taruhan bagi pasukan Pachie Yuzy Honda Racing musim ini.

GANDINGAN dan strategi baru jadi taruhan Pachie Yuzy Honda Racing bagi menghadapi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 yang bakal membuka tirai di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 31 Mac dan 1 April ini.

Perubahan utama yang dilakukan adalah kehadiran Mohd Rozaliman Zakaria ke dalam barisan pelumba pasukan.

Bekas pelumba ZAR Racing Motorsports yang muncul tempat keempat keseluruhan tahun lalu itu akan berganding dengan Mohd Amirul Ariff Musa dalam kategori CP115 manakala Mohd Zaqhwan Zaidy dan Wan Mohd Hadri Wan Mokhtar akan membawa cabaran dalam perlumbaan CP130.

Bukan sekadar beraksi di peringkat kebangsaan, Rozaliman dan Amirul turut mengambil bahagian di pentas Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS dengan menunggang jentera Honda dalam kategori Underbone 115cc.

"Kehadiran Rozaliman mampu mengukuhkan prestasi dan turut membangkitkan semangat semua ahli pasukan Pachie Yuzy Honda Racing untuk terus berkembang maju pada tahun ini,” jelas pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini yang jelas gembira dengan gandingan baru musim ini.

Yuzy yakin tidak ada masalah baginya kerana Rozaliman seorang pelumba berbakat dan cepat belajar.

"Sebelum ini, dia tampil dengan prestasi cukup konsisten apabila sentiasa berada di kelompok hadapan walaupun mengalami pelbagai rintangan sejak mula beraksi pada tahun 2007 lagi.

"Saya percaya dengan pengalaman yang ditimba selama ini, dia akan membawa impak positif kepada kami semua terutama Amirul," katanya.

Menceritakan tentang prestasi musim lepas di dalam kelas CP115, Yuzy menjelaskan, pasukannya melalui satu musim yang sukar namun semuanya telah berlalu.

"Sekarang ini, kami optimis untuk menghadapi musim 2012. Mekanik pasukan telah bekerja keras untuk menghasilkan pelarasan terbaik bagi memastikan pelumba-pelumba berada di tahap tertinggi sebaik perlumbaan bermula minggu ini.

"Kami juga mengharapkan Amirul dapat memberikan aksi cemerlang sebagaimana ketika beraksi dalam kategori CP130 musim lepas,” kata bekas pelumba MotoGP itu.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau anda boleh layari laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS www.malaysiancubprix.com.

Artikel Lain