suria

Liga Juara-Juara: Percaturan Di Matteo Menjadi, Tewaskan Benfica

Kalou (kiri) menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-75 ketika menentang Benfica awal pagi Khamis.
Kalou (kiri) menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-75 ketika menentang Benfica awal pagi Khamis.
Kalou (kiri) menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-75 ketika menentang Benfica awal pagi Khamis.

LANGKAH pengurus sementara Chelsea, Roberto Di Matteo mengetepikan beberapa nama besar pada perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara (CL) berbaloi apabila skuadnya menang 1-0 ke atas Benfica di Lisbon pada aksi awal pagi Rabu.

Pengurus Itali itu tidak menyenaraikan Frank Lampard, Didier Drogba, Michael Essien, Gary Cahill dan Daniel Sturridge dan memasukkan Salomon Kalou yang menjaringkan gol tunggal perlawanan pada separuh masa kedua di Stadium da Luz.

“Kami telah bermain banyak perlawanan berisiko tinggi dengan Manchester City minggu lalu, melawan Spurs pada Sabtu dan malam ini satu lagi perlawanan.

“Ia adalah jalan untuk memberi tenaga kepada pasukan. Kami sedar Benfica bermain dengan tempo yang tinggi jadi kami memerlukan pemain-pemain yang lebih pantas untuk berlari.

“Saya mengambil langkah dengan melibatkan semua pemain. Saya lebih suka menggunakan langkah bergilir-gilir kerana kami memerlukan semua pemain sehingga musim ini,” katanya.

Di Matteo juga mengalu-alukan aksi pemain bahagian belakang Portugal, Paulo Ferreira yang memulakan penampilan pertamanya bulan ini dengan menggantikan Branislav Ivanovic yang mengalami kecederaan.

“Ferreira telah lama tidak beraksi, namun dia sungguh luar biasa. Kami tidak boleh hanya mengharapkan 11 pemain sahaja kerana sangat mustahil untuk pasukan bermain dalam tempoh tiga hari dan perlu mencapai tahap kecergasan tertinggi jika ingin menang,” jelasnya.

Tambah Di Matteo, dia teruja dengan kemenangan ke atas Benfica ini.

“Ia adalah satu persembahan yang cemerlang. Saya akui perlawanan ini agak sukar, mereka tidak pernah kalah dalam tempoh dua tahun (di Eropah) dan kami tahu kenapa.

“Mereka mempunyai pemain yang bagus di setiap bahagian. Namun saya dapat rasakan kami semakin baik daripada segi pertahanan, lebih teratur dan selalu membayangkan skuad akan menjaringkan gol," tambahnya.

Selain itu, jurulatih Benfica, Jorge Jesus pasukannya tidak bertuah pada aksi ini.

“Benfica adalah pasukan yang kuat dan sepatutnya tidak layak untuk kalah. Kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol berbanding Chelsea.

“Masih ada lagi satu perlawanan di London. Pemain-pemain saya tidak akan berputus asa dan masih merasakan kami berada dalam keadaan baik,” katanya.

Aksi kedua pusingan suku akhir akan berlangsung di Stamford Bridge pada 4 April ini.

Pemenang akan bertemu Barcelona ataupun AC Milan pada aksi separuh akhir nanti.

Senarai pemain:

BENFICA: Artur Moraes, Maxi Pereira, Luisao, Jardel, Emerson, Aimar, Javi Garcia, Bruno Cesar, Witsel, Gaitan, Cardozo (Pemain simpanan): Eduardo, Nolito, Nelson Oliveira, Rodrigo Moreno, Matic, Miguel Vitor, Saviola

CHELSEA: Cech, Ferreira, Luiz, Terry, Cole, Ramires, Meireles, Mata, Mikel, Kalou, Torres (Pemain simpanan): Turnbull, Essien, Lampard, Drogba, Bosingwa, Sturridge, Cahill

Pengadil: Paolo Tagliavento (Itali)

Artikel Lain