suria

Skuad Hoki Wanita Yakin Lepasi Kelayakan Olimpik

KUALA LUMPUR: Walaupun skuad hoki lelaki yang mempunyai reputasi lebih tinggi gagal menempah tiket ke Olimpik London pada Julai, skuad wanita pula optimis dapat melepasi Kelayakan Olimpik di Jepun pada April ini.

Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia, Dr S. Shamala berkata sebelum ke Jepun, skuad wanita negara terlebih dahulu akan ke Korea Selatan selama 10 hari, dari 16 April ini untuk mengadakan latihan dan menyertai perlawanan persahabatan dengan pasukan negara tersebut.

"Skuad kemudian akan menghadapi kelayakan Olimpik di Kakamigahara, Jepun yang akan berlangsung dari 26 April hingga 6 Mei," katanya kepada Bernama, di sini, Selasa.

Beliau berkata skuad negara akan menentang Jepun, Belarus, Chile, Azerbaijan dan Austria pada kelayakan tersebut.

Di atas kertas, skuad negara yang menduduki ranking ke-23, Persekutuan Hoki Dunia (FIH), bakal menghadapi saingan sengit daripada pasukan yang mempunyai ranking yang lebih baik.

Kecuali Austria yang menduduki ranking ke-29, negara lain di pusingan kelayakan itu berkedudukan lebih baik daripada skuad wanita Malaysia.

Jepun kini berada di ranking kesembilan, Belarus (22), Chile (17) dan Azerbaijan (15).

Beliau berkata kelayakan di Jepun merupakan penyertaan kali kedua skuad wanita negara selepas kali pertama layak bersaing di pusingan kelayakan pada 2008 di Victoria, Kanada.

Skuad negara bagaimanapun gagal menempah tiket ke Olimpik di Beijing, China pada 2008.

Katanya skuad bimbingan Nasihin Nubli yang dilantik setahun lalu sebagai jurulatih kebangsaan, semakin menunjukkan peningkatan khususnya di bahagian serangan dan jaringan gol.

"Kita mempunyai seramai 26 pemain dan tiga pemain lama yang masih bersama-sama pasukan hoki wanita kebangsaan adalah Nadia Abdul Rahman (Ketua pasukan), A. Kannagi dan Sebah Anak Kari.

Katanya kali terakhir pasukan hoki wanita kebangsaan menyertai kejohanan adalah di Sukan Asia Guangzhou, China pada 2008. -BERNAMA

Artikel Lain