suria

Rozaliman Jadi Taruhan Pachie Yuzy Honda Racing

KUALA LUMPUR: Kehadiran bekas pelumba ZAR Racing Motorsports, Mohd Rozaliman Zakaria bakal menjadi taruhan serta strategi baru kepada pasukan Pachie Yuzy Honda Racing dalam menghadapi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2012 di Stadium Batu Kawan, Seberang Perai pada 31 Mac dan 1 April ini.

Pengurus pasukan Pachie Yuzy Honda Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini berkata Rozaliman akan bergandingan dengan Mohd Amirul Ariff Musa dalam kategori CP115 manakala Mohd Zaqhwan Zaidy dan Wan Mohd Hadri Wan Mokhtar akan membawa cabaran dalam perlumbaan CP130.

"Kehadiran Rozaliman mampu mengukuhkan prestasi dan dapat membangkitkan semangat semua ahli pasukan Pachie Yuzy Honda Racing untuk terus berkembang maju pada tahun ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau percaya dengan pengalaman yang ditimba oleh Rozaliman selama ini, ia akan membawa impak positif kepada pasukan Pachie Yuzy Honda Racing.

"Saya fikir tidak ada masalah baginya kerana dia seorang pelumba berbakat dan cepat belajar dan sebelum ini dia tampil dengan prestasi cukup konsisten apabila sentiasa berada di kelompok hadapan walaupun mengalami pelbagai rintangan sejak mula beraksi pada tahun 2007 lagi," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain