suria

Program 'Jom P Jaring' Sasar Lahirkan Atlet Cilik Bola Jaring

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) akan melaksanakan program 'Jom P Jaring' (JPJ) yang mensasarkan atlet cilik berusia 5 hingga 8 tahun bagi melahirkan pemain pelapis negara pada masa hadapan.

Presiden PBJM Suraya Yaacob berkata program tersebut mendapat kerjasama daripada Australia Netball dalam usaha membantu meningkatkan sukan bola jaring negara.

"Australia Netball memberi tajaan untuk memperluaskan sukan bola jaring di peringkat Asia dengan lebih profesional.

"Mereka bermurah hati untuk membantu kita dalam membangunkan lagi sukan bola jaring negara serta menyediakan kemudahan-kemudahan yang kita perlukan untuk melatih kanak-kanak tersebut nanti," katanya.

Beliau berkata pihak Australia Netball telah menghantar dua pelatih mereka bagi tujuan melatih jurulatih daripada tadika yang terpilih serta penyediaan modul latihan kepada kanak-kanak.

"Kita sudah latih lebih kurang 14 guru tadika sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur bagi menerima latihan untuk mengendalikan bola, serta 'warm-up' yang bersesuaian untuk kanak-kanak yang berusia 5 hingga 8 tahun ini.

"Terdapat 24 buah tadika di sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur ini yang mengambil bahagian dan enam lagi kekosongan akan ditawarkan kepada negeri-negeri yang berminat," katanya.

Beliau berkata PBJM juga akan menyesuaikan peralatan yang diperlukan bagi memberi keselesaan dan kemudahan kepada atlet cilik tersebut dalam menjalani latihan sesuai dengan keadaan fizikal mereka.

Beliau turut berharap agar ibu bapa akan memberi sokongan serta dorongan kepada anak-anak mereka dalam sukan bola jaring.

Suraya juga berkata persatuan berharap dapat memperkukuhkan kedudukan negara dalam sukan tersebut di Asia pada Kejohanan Bola Jaring Asia yang akan berlangsung pada 25 hingga 31 Ogos ini di Sri Lanka.

“Setakat ini skuad negara berada di ranking ketiga bagi kategori terbuka Asia manakala kategori remaja kita berada di ranking pertama selama lapan tahun berturut-turut,” katanya.-BERNAMA

Artikel Lain