suria

Pasukan Memanah: Skuad Pelapis Rangkul Lima Emas Di Sirkit Pertama

MELAKA: Pasukan Pelapis Memanah Kebangsaan Lelaki merangkul lima pingat emas termasuk menjuarai acara recurve lelaki (berpasukan) pada hari terakhir Kejohanan Memanah Kebangsaan Sirkit Pertama di Dataran 1Malaysia di Klebang, di sini, Ahad.

Pengurus pasukan Memanah Pelapis Kebangsaan, Rahimi Ahmad Sulaiman berkata, ia merupakan suatu kejayaan yang besar pada pasukan itu, dan mereka menunjukkan peningkatan membanggakan berbanding tahun lepas.

"Ia merupakan satu permulaan yang memberangsangkan. Sebelum ini kita tidak meletakkan harapan yang terlalu besar terhadap pasukan ini," katanya kepada Bernama.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merangkul pingat perak manakala skuad elit merangkul pingat gangsa.

Bagi acara recurve perempuan (berpasukan) pula, skuad elit merangkul pingat emas, manakala pasukan ATM dan pasukan dari negeri Perak masing-masing merangkul perak dan gangsa.

Dalam acara recurve lelaki (individu), Mohd Faris Haziq dari pasukan pelapis merangkul pingat emas, manakala Atiq Bazil Bakri juga dari pasukan pelapis merangkul perak manakala Mohd Faizal dari ATM mendapat gangsa.

Bagi acara recurve wanita (individu), Nur Atiqah Azizi dari Melaka merangkul pingat emas diikuti Azuanis dari Kelantan di tempat kedua dan Siti Nurul Asiah Mahmod dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) di tempat ketiga.

Dalam acara compound lelaki jarak 50M, Frankie Ting dari Kelab PPOC merangkul pingat emas dengan catatan mata 345, manakala Kelvin Hoo Kok Meng dari MAAC merangkul perak dengan catatan mata 344 dan Mohd Zaki Mahazan dari ATM merangkul gangsa dangan catatan mata 344.

Dalam acara compound Wanita jarak 50M, Nur Amirah Muhammed dari Skuad Elit merangkul pingat emas dengan catatan mata 295, manakala Nur Huda Azida Zolkifli dari Johor, merangkul perak dengan mata 294 dan Siti Fatimah Abd Karim dari Pulau Pinang gangsa dengan mata 286.

Sebanyak 26 acara dipertandingkan pada kejohanan selama lima hari itu bermula Rabu lepas.

Sirkit kedua akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Sept depan. -BERNAMA

Artikel Lain