suria

Grosjean Azam Baiki Prestasi Dalam Sesi Kelayakan

SEPANG: Pemandu Lotus Formula 1, Romain Grosjean berazam memperbaiki prestasinya dalam sesi kelayakan Grand Prix Petronas Malaysia 2012 pada Sabtu.

Pada sesi latihan rasmi pada Jumaat di Litar Sepang, Grosjean berjaya melakukan penyudah di tempat kesembilan selepas mencatatkan 1 minit 39.311 saat pada sesi kedua.

"Saya rasa kami mendapat idea baik bagaimanapun untuk beraksi dalam sesi kelayakan esok. Sesi saya hari ini berjalan dengan lancar dengan hanya sedikit gangguan.

"Trek ini sungguh hebat untuk kereta Formula One. Kami masih belum selesai dalam melakukan penyesuaian pada kereta, kami masih mempunyai banyak data untuk diteliti," kata pemandu dari Switzerland itu.

Dalam sesi pertama sebelum itu, Grojean menduduki tempat kelima dengan catatan 1:38.919s, mendahului pesaingnya dari pasukan Red Bull Racing, Mark Webber.

"Pagi tadi ada sesuatu yang tidak kena dengan bahagian belakang kereta yang telah pun dapat diatasi dengan segera, kemudiannya pada tengah hari tayar kereta pula berdepan masalah. Namun, kedua-duanya bukan masalah besar. Kami lebih bimbangkan cuaca dan suhu panas di sini," katanya.

Rakan sepasukannya, Kimi Raikkonen gagal memperbaiki kedudukan dengan hanya menduduki tempat ke-15 berbanding tempat ketujuh dalam sesi latihan pertama.

"Semuanya okay hari ini tetapi kami masih perlu melakukan pengubahsuaian pada kereta terutamanya turus stereng.

"Saya berasa selesa dalam kereta walaupun cuaca di luar panas, dan perlumbaan akan berlangsung pada waktu petang, jadi saya rasa ia tidak akan mendatangkan masalah," kata Raikkonen, juara Formula One Dunia 2007 yang membuat kemunculan semula selepas dua tahun.

Katanya, beliau berazam untuk memberikan saingan sengit pada Grand Prix Malaysia dan bakal mempamerkan pretasi terbaik pada sesi kelayakan pada Sabtu.

"Saya berharap untuk melakukan catatan lebih baik pada sesi kelayakan di sini berbanding di Australia sebelum ini. Saya begitu teruja untuk berlumba di sini," katanya.

Raikkonen menjuarai Grand Prix Malaysia pada 2008 dengan pasukan Scuderia Ferrari Marlboro. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain