suria

Malaysia Masih Kuat Tanpa Chong Wei - Pasukan Indonesia

KUALA LUMPUR: Pengurus pasukan Rajawali Indonesia Yacob Rusdianto mengakui skuad Malaysia Tiger masih satu pasukan yang kuat meskipun tidak menurunkan perseorangan nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei dalam kejohanan Piala Axiata pada Jumaat.

Bagaimanapun, beliau berkata anak buahnya yang terdiri daripada pemain pelapis republik itu tidak mudah patah semangat dan akan tetap memberi cabaran kepada Malaysia.

"Walaupun tanpa Chong Wei, Malaysia masih mempunyai Hafiz (Muhammad Hafiz Hashim) dan Daren (Liew Daren), serta beregu yang kuat. Namun kita masih punya peluang dan akan melakukan yang terbaik," katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran Kejohanan Piala Axiata di Menara G sini Khamis.

Setiausaha Jeneral Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia itu berkata pihaknya tidak menetapkan sasaran tertentu untuk skuad Indonesia Rajawali pada kejohanan julung kali itu.

"Kejohanan ini lebih kepada kesempatan untuk pemain-pemain pelapis menambah pengetahuan mereka dan menimba pengalaman," katanya.

Chong Wei tidak akan beraksi dalam pusingan round robin kejohanan itu yang bermula esok (Jumaat) hingga Ahad di Stadium Badminton Cheras, akibat kecederaan bahu kanan.

Berikutan ketiadaannya, seorang lagi pemain kebangsaan Muhammad Hafiz akan menggalas tanggungjawab sebagai perseorangan pertama negara.

"Saya telah bersedia untuk mengambil cabaran ini. Semua negara yang mengambil bahagian semuanya kuat-kuat, pasukan negara perlu fokus dan tidak boleh memandang rendah pada kekuatan pasukan lain," katanya.

Selain beliau, pasukan Malaysia Tiger turut dibarisi perseorangan Liew Daren dan Mohd Arif Abd Latif serta beregu Koo Kien Keat/Tan Boon Heong dan Goh V.Shem/Lim Kim Wah.

Skuad itu diundi dalam kumpulan K dan bersama Indonesia Rajawali, Thailand dan Filipina.

Thailand turut menyenaraikan pemain ranking ke-27 dunia Boonsak Ponsana sebagai perseorangan pertamanya manakala Filipina menggunakan khidmat dua pemain import iaitu perseorangan Marc Zwiebler dari Jerman dan pemain beregu Mathias Boe dari Denmark. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain