suria

F1 GP Petronas 2012: Pasukan Perubatan F1 Bersiap Sedia

SEPANG: Pasukan Perubatan Formula Satu (F1) Malaysia bersiap sedia untuk memberikan perkhidmatan cemerlang menjelang F1 Petronas Malaysia Grand Prix 2012 yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mulai 23-25 Mac ini.

Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Lt Jen Datuk Wira Allatif Mohd Noor berkata seramai 60 pakar perubatan dan 240 paramedik akan bertugas sepanjang kejohanan itu selain menyediakan 2 buah helikopter, 20 ambulans, lima kenderaan perubatan intervensi dan empat kereta perubatan.

Turut disediakan ialah dua dewan bedah, sebuah bilik rawatan intensif (ICU), sebuah bilik unit rawatan kepakaran serta 3 pasukan 'extrication' khas untuk kes-kes kecemasan.

"Saya percaya sikap, komitmen serta profesionalisme yang ditunjukkan pada kejohanan yang lepas akan dapat diteruskan untuk membentuk satu pasukan perubatan yang cekap dan cemerlang," katanya ketika berucap pada seminar perubatan F1 ke-14, di sini, Selasa.

Allatif berkata perkhidmatan Perubatan F1 Malaysia merupakan satu-satunya perkhidmatan perubatan sukan permotoran di dunia yang mendapat pengiktirafan ISO.

Beliau juga mahukan fakulti perubatan dan kesihatan pertahanan UPNM merangka satu modul khas dalam bidang perubatan permotoran agar ilmu dan pengalaman yang diperoleh selama ini dapat dikongsi bersama oleh semua pihak.

"Federation Internationale De L'automobile (FIA) telah memberi laporan yang cemerlang terhadap perkhidmatan perubatan F1 negara ini sejak 1999 iaitu sebanyak 13 kali. Ia perlu diteruskan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain