suria

Dua Atlet Sukan SEA Positif Ujian Doping Dipanggil Bela Diri

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan memanggil dua orang atlet yang disahkan positif ujian doping pada Sukan SEA Indonesia tahun lalu, bagi mendengar keterangan mereka minggu depan. Setiausaha Kehormat badan itu, Datuk Sieh Kok Chi berkata, sesi pendengaran itu akan diadakan di Wisma MOM namun tarikh dan waktu masih belum diputuskan.

Katanya, sesi itu akan dikendalikan oleh tiga ahli panel yang dilantik Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar iaitu Timbalan MOM, Datuk A.Sani Karim, pakar perubatan, Datuk Dr S.S Cheema dan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Indonesia 2011, Datuk Naim Mohamad.

"Kedua-dua atlet itu, Mohd Yunus Lasalleh dari olahraga dan Firdaus Abdul Razak dari acara angkat berat akan berpeluang untuk membela diri.

"Mereka juga dibenarkan membawa peguam, jurulatih atau pengurus mereka untuk membantu, bagaimanapun wakil persatuan masing-masing tidak perlu hadir," katanya kepada Bernama, Isnin.

Disember tahun lepas, Mohd Yunus dari pasukan 4x400m yang meraih emas dan pemenang pingat gangsa acara angkat berat 105 kg, Firdaus disahkan positif menggunakan bahan terlarang oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Indonesia (Inasoc) pada temasya itu di Palembang.

Sieh berkata, hasil keterangan itu akan diserahkan kepada Persekutuan Sukan SEA (SGF) bagi tindakan lanjut, berikutan Inasoc yang sepatutnya bertanggungjawab menubuhkan jawatankuasa siasatan, sehingga kini masih tidak memberi sebarang maklum balas meskipun telah dihubungi MOM. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain