suria

Terbuka Swiss: Beregu Wanita Chin/Wong Mara Ke Separuh Akhir

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Chin Eei Hui/Wong Pei Tty mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Swiss selepas menundukkan pasangan Denmark Christinna Pedersen/Kamilla Rytter Juhl dalam perlawanan yang berlangsung Basel, Switzerland awal pagi Sabtu. Bagaimanapun kejayaan itu bukan mudah apabila pasangan Malaysia tersebut terpaksa berhempas-pulas selama 53 minit untuk mengatasi beregu Denmark dengan 21-18, 15-21 and 21-7.

Mereka dijadual bertemu pasangan China Huan Xia/Tang Jinhua malam ini (Sabtu) waktu Malaysia.

Dalam pada itu, prestasi cemerlang perseorangan lelaki negara Liew Daren dikekang pemain pilihan keempat kejohanan Chen Jin dari China yang mengatasinya 8-21, 21-23 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

Nasib serupa juga menimpa beregu campuran kebangsaan Chan Peng Soon/Goh Liu Ying yang sekali lagi terpaksa akur kepada pasangan Indonesia Tontowi Ahmad/Liliyana Natsir dengan 19-21, 21-18 dan 23-25.

Minggu lepas Chan/Goh tewas kepada pasangan tersebut di separuh akhir Kejohanan All England. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain